KATHMANDU: “Setakat ini pengecaman mayat, tak jumpa tanda-tanda mereka.”
Itu perkongsian isteri Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Loe, yang masih hilang selepas bencana melanda Nepal.
Hani Othman berkongsi perkembangan terbaharu itu menerusi Facebook Story selepas hadir ke hospital bagi membantu proses pengecaman mangsa yang ditemukan pihak berkuasa.
Dalam hantaran sama, Hani sebelum ini turut meluahkan harapan agar suaminya bersama anggota kumpulannya berada dalam keadaan selamat.
“Saya harap tidak jumpa salah seorang daripada mereka di sini (pengecaman mayat di hospital),” katanya.
Namun, proses yang dilaluinya itu bukan sesuatu yang mudah.
Hani mengakui berdepan pengalaman amat memilukan apabila terpaksa melihat keadaan mayat yang ditemukan, termasuk mangsa yang tidak sempurna serta membabitkan kanak-kanak.
Menurutnya, kemungkinan lebih banyak mayat akan ditemukan dari semasa ke semasa menyebabkan dia perlu menguatkan diri dan membiasakan diri dengan proses pengecaman berkenaan.
“Kalau banyak lagi mayat yang akan ditemui selepas ini, saya kena biasakan diri dengan proses ini,” katanya.
Walaupun berdepan detik sukar, Hani tetap meneruskan usaha berkenaan demi mendapatkan sebarang petunjuk mengenai keberadaan suaminya dan anggota kumpulannya.
Sebelum ini, Hani dilaporkan berlepas ke Kathmandu atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan perkembangan secara langsung berhubung operasi mencari dan menyelamat suaminya yang gagal dihubungi selepas bencana melanda Nepal.
Keputusan itu dibuat kerana Hani mahu berada lebih dekat dengan operasi pencarian dan tidak sekadar menunggu perkembangan dari Malaysia.
Kehadiran Hani di Nepal turut mendapat bantuan rakan serta kenalan Loe di negara berkenaan, selain dimaklumkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.
Mohd Fakhrul Munir merupakan antara rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi selepas kejadian banjir kilat melanda Nepal.
Operasi mengesan beliau bersama anggota kumpulannya masih diteruskan, manakala keluarga dan kenalan terdekat terus menaruh harapan agar mereka dapat ditemukan dalam keadaan selamat.
Buat Hani, setiap proses pengecaman yang dilalui bukan sekadar satu tugas, sebaliknya menjadi antara detik paling berat dalam penantian untuk mengetahui nasib insan yang disayanginya.










