Isteri Cikgu Din Meninggal Dunia Akibat Kanser Tulang Rawan

TUMPAT, Isteri kepada seorang guru, Mohamad Izzudin Izhar atau lebih dikenali sebagai Cikgu Din, dilaporkan meninggal dunia pada jam 9 malam tadi akibat kanser tulang rawan tahap empat.

Berita sedih itu dikongsikan oleh Cikgu Din, 34, menerusi aplikasi WhatsApp, memohon maaf bagi pihak arwah isterinya sekiranya terdapat kesilapan atau hutang yang perlu dilunaskan lapor Berita Harian

“Isteri saya telah menghembuskan nafas terakhir jam 9 (malam) tadi… saya mohon maaf kalau isteri saya ada salah silap, dan kalau ada hutang (Allahyarham) mohon beritahu saya,” tulisnya ringkas

Allahyarham Nur Atiqah My Yusoff, 30, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu. Jenazah telah disolatkan di Masjid Putra Taman Desa SBJ Putra Pasir Pekan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, Tumpat.

Perjuangan Melawan Kanser

Pada Oktober lalu, kisah pengorbanan Cikgu Din mendapat perhatian ramai apabila beliau berkongsi keperitan berulang-alik dari Sarawak ke Kelantan setiap dua minggu demi menemani isterinya yang sedang bertarung nyawa.

Cikgu Din, seorang guru di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ming Wok, Kanowit, Sarawak, akhirnya mendapat kelulusan khas daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk berpindah sementara ke Kelantan bagi menjaga isterinya yang semakin kritikal.

Ucapan Takziah Menteri Pendidikan

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, turut menyampaikan ucapan takziah melalui Facebook, menzahirkan rasa simpati terhadap pemergian Allahyarhamah Nur Atiqah.

“Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Ucapan takziah dan turut berduka cita kami sampaikan buat kaum keluarga Allahyarhamah,” tulisnya.

Berita pemergian Nur Atiqah bukan sahaja menyentuh hati ramai tetapi juga menyerlahkan ketabahan dan kasih sayang seorang suami dalam menghadapi ujian besar. Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Nur Atiqah My Yusoff.

BBerkaitan

Latest articles