Islamophobia: Malaysia Tolak Stereotaip Kebencian Masyarakat Dunia Terhadap Islam

KUALA LUMPUR: Perbuatan membakar al-Quran di beberapa negara adalah tindakan Islamofobia jelas bertujuan mencetuskan kebencian, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tindakan tidak mengendahkan provokasi terang-terangan terhadap sesuatu agama tidak bertanggungjawab dan menghantar mesej berbahaya kepada kemanusiaan.

Anwar dalam kenyataan negara yang disampaikan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di ibu pejabat PBB, berkata Malaysia bimbang dengan kemunculan “bentuk perkauman baharu” yang dicirikan xenofobia, pemprofilan negatif dan stereotaip umat Islam.

“Ini dimanifestasikan dalam trend kebencian membimbangkan, sikap tidak bertoleransi dan tindakan keganasan terhadap umat Islam dan kesucian mereka.”

Malaysia, katanya terkejut dengan pengesahan perbuatan ini di bawah pembelaan hak asasi manusia lemah.

Berbaju Melayu biru muda dilengkapi samping bertenun benang emas, Anwar berkata, dunia perlu menerapkan nilai penerimaan, toleransi dan saling menghormati serta menggalakkan persefahaman dan kerjasama antara budaya, peradaban dan agama.

Pada masa sama, Anwar berkata, setiap orang perlu menyatukan kepercayaan mereka bagi tujuan sama untuk menggalakkan persefahaman dalam kalangan rakyat dan mengukuhkan keamanan serta keharmonian dalam kalangan negara.

“Ini memang suatu yang sukar, namun itu sebabnya kita berada di sini. Apa yang kita perlukan ialah kepercayaan dan keyakinan untuk menjadikan dunia tempat lebih baik, kemahuan untuk bekerjasama di atas platform konsensus dan perpaduan.”

Selepas mesyuarat dua hala di sini pada Rabu, Anwar dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengutuk sekeras-kerasnya pembakaran al-Quran dan wacana populis baru-baru ini yang menghasut supaya membenci Islam.

Dua pemimpin itu dalam kenyataan bersama menyuarakan kebimbangan terhadap kemunculan “bentuk perkauman baharu” yang dicirikan xenofobia, pemprofilan negatif dan stereotaip terhadap umat Islam. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles