Indonesia Dedah Rakaman CCTV Juruterbang Malaysia Disyaki Seludup 25kg Dadah

SHAH ALAM: Pihak berkuasa Indonesia mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan pergerakan seorang juruterbang warga Malaysia sebelum ditahan kerana disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah jenis ekstasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Rakaman yang dimuat naik oleh Direktorat Jeneral Kastam dan Eksais Indonesia (Bea Cukai) menunjukkan suspek berusia 39 tahun itu mengambil dua bagasi sebelum melalui laluan khas kru penerbangan dan diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut selepas dikenal pasti menerusi proses pemprofilan risiko.

Pemeriksaan ke atas beg pakaian berwarna perak itu menemukan beberapa bungkusan dadah yang disembunyikan di bahagian bawah pakaian.

Video sama turut memaparkan penemuan sebotol cecair yang didakwa air kencing palsu, dipercayai bagi memanipulasi keputusan ujian air kencing.

Pada Jumaat lalu, pihak berkuasa Indonesia memaklumkan suspek ditahan pada 29 Julai selepas didakwa cuba membawa masuk dadah bernilai kira-kira 60 bilion rupiah.

Suspek juga didakwa positif MDMA, metamfetamina dan kokain, selain dipercayai pernah melakukan penyeludupan menggunakan sistem pengendalian bagasi khas kru penerbangan.

Siasatan awal mendapati suspek dijanjikan bayaran RM50,000 bagi menjalankan kegiatan itu, manakala pihak berkuasa masih memburu dalang sindiket.

Dalam perkembangan sama, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengesahkan akses konsular telah diberikan kepada suspek dan keluarganya telah dimaklumkan mengenai penahanan itu.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pula menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa serta memberi bantuan yang diperlukan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles