SHAH ALAM: Seorang wanita yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-23 dua hari lalu didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Khamis atas pertuduhan membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkannya minggu lalu.
Tertuduh, Siti Nur Wahida Zainudin yang bekerja sebagai jurujual pasar raya, mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkannya di sebuah unit pangsapuri di Persiaran Mulia, Subang Jaya antara jam 5 pagi hingga 5.30 petang pada 7 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.
Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah turut berdepan sekurang-kurangnya 12 sebatan, sekiranya disabitkan kesalahan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Akhilah Rosmi, manakala tertuduh hadir tanpa diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 23 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen serta lantikan peguam.










