Hukuman Penjara Shafie Ditangguh Sementara Rayuan

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dibenarkan menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lima minggu yang dijatuhkan terhadapnya hari ini sementara mengemukakan rayuan berhubung sabitan kes menghina mahkamah.

Perintah penangguhan itu diberikan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan sejurus menjatuhkan hukuman selepas mendapati Presiden Parti Warisan itu bersalah atas kenyataannya berkaitan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Dalam penghakimannya, Amir memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Shafie melampaui keraguan munasabah mengikut Seksyen 99A Akta Mahkamah Rendah 1948.

Mengikut seksyen berkenaan, kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam minggu atau denda maksimum RM300, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P. Kunyalam dan Nadia Izhar, manakala Shafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang serta Ahli Parlimen Semporna diwakili peguam Jakariya Ab. Jalil dan Chen Ket Chuin.

Kes itu berpunca daripada kenyataan Shafie dalam satu rakaman video yang tular di media sosial tahun lalu berhubung inkues kematian Allahyarham Zara Qairina.

Allahyarhamah Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di aras bawah asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.

Inkues bagi menyiasat punca kematian remaja itu mula berlangsung pada 3 September tahun lalu dan dijadualkan bersambung pada 24 Ogos ini.

BBerkaitan

Latest articles