Helikopter Flying Doctor Bukan Aset KKM, Kelayakan Tertakluk CAAM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menentukan kelayakan operasi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) di Sarawak berdasarkan faktor usia semata-mata, sebaliknya tertakluk kepada peraturan dan kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, helikopter yang digunakan bagi perkhidmatan berkenaan bukan aset milik KKM, sebaliknya disediakan menerusi kontrak dengan syarikat penyedia perkhidmatan penerbangan.

Menurutnya, penentuan kelayakan sesuatu pesawat untuk beroperasi termasuk aspek kelayakan penerbangan (airworthiness) adalah di bawah bidang kuasa CAAM.

“Justeru, KKM tidak membuat penentuan kelayakan pesawat berdasarkan faktor usia semata-mata,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Indera Dr Suhaili Abdul Rahman (Bebas-Labuan) yang meminta penjelasan mengapa helikopter Flying Doctor Service berusia kira-kira 35 tahun masih dibenarkan beroperasi di Sarawak, spesifikasi usia dan keselamatan dalam kontrak serta perancangan menggantikan helikopter lama bagi menjamin keselamatan petugas dan pesakit.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, keperluan dan spesifikasi perkhidmatan dalam kontrak ditetapkan berdasarkan keperluan operasi di lapangan, aspek keselamatan serta kesesuaian perkhidmatan.

Katanya, penetapan itu turut mengambil kira input daripada agensi serta pihak yang mempunyai kepakaran teknikal dalam bidang penerbangan.

Berhubung cadangan menggantikan helikopter lama, beliau berkata, penggantian aset tidak dilaksanakan secara langsung oleh KKM memandangkan pesawat berkenaan bukan milik kementerian.

“Walau bagaimanapun, KKM sedang menyemak dan memperkukuh keperluan serta spesifikasi kontrak PDU bagi memastikan pesawat yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan adalah sesuai dengan keperluan operasi, keselamatan petugas dan pesakit serta keadaan geografi kawasan perkhidmatan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles