Hampir 2,000 Pengamal Perubatan Am Swasta Telah Daftar PICK

SERAMAI 1,911 pengamal perubatan am swasta (GP) telah berdaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa kedua dan ketiga setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, lebih ramai GP diseru untuk terlibat mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi memaksimumkan akses pengagihan vaksin dengan lebih meluas kepada rakyat.

Beliau berkata, GP yang berminat boleh berdaftar dengan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) melalui laman web www.protecthealth.com.my.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap agar kerjasama awam dan swasta dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini akan dapat memberi manfaat kepada rakyat secara meluas.

“Ia juga diharap dapat mempercepatkan usaha ke arah pembentukan imuniti kelompok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Awal bulan ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan KKM telah melantik ProtectHealth sebagai pelaksana penglibatan GP dalam inisiatif bagi membolehkan GP terlibat dengan fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

ProtectHealth merupakan syarikat yang diperbadankan pada 2016 di bawah KKM sebagai sebuah syarikat yang tidak berasaskan keuntungan.

“Seperti diumumkan Adham, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah bersetuju melibatkan GP bagi memaksimumkan akses pengagihan vaksin dengan lebih meluas kepada rakyat,” kata Noor Hisham.

Mengulas lanjut, Adham berkata, GP juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan model vaksinasi, skop tugas, keperluan, kadar bayaran dan kaedah pembayaran menerusi laman web ProtectHealth tersebut.

“GP yang telah berdaftar akan diberikan taklimat dan latihan berkaitan skop-skop tugas dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Selain itu, garis panduan dan manual lengkap akan turut diberikan sebagai rujukan GP dalam mengendalikan pemberian vaksin kepada kumpulan sasaran fasa dua dan tiga,” jelas beliau.

BBerkaitan

Latest articles