Hadi: Ketepi Sengketa Lama, Kerjasama PAS-BN Demi Kuasa Politik Islam

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan keputusan partinya menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menyifatkan langkah itu sebagai usaha menyatukan kekuatan politik umat Islam demi kepentingan lebih besar.

Menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat, beliau berkata, kepimpinan yang diterajui orang Melayu-Islam perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan kedudukan Islam terus terpelihara, di samping menjamin keadilan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang kaum serta agama.

“Atas pertimbangan tersebut, kerjasama antara PAS dan BN di Johor dibentuk bagi mengelakkan perpecahan kuasa politik umat Islam.

“Perbezaan yang pernah wujud diketepikan demi mencapai matlamat yang lebih besar, iaitu mempertahankan kestabilan negeri serta memastikan kepimpinan terus berada di landasan yang betul.”

Pendirian PAS menyokong BN dalam PRN Johor dilihat mencetuskan perhatian kerana ia berbeza daripada sejarah panjang hubungan kedua-dua parti yang sebelum ini sering menyaksikan persaingan sengit di pentas politik negara.

Antara episod paling kontroversi dalam hubungan PAS dan UMNO ialah ucapan Hadi pada 1981 yang kemudiannya dikenali sebagai ‘Amanat Hadi’, apabila beliau mengkritik kepimpinan UMNO kerana mempertahankan sistem perundangan sekular dan menganggap perjuangan menentang parti itu sebagai satu bentuk jihad.

Ucapan berkenaan turut sering dikaitkan dengan tragedi Memali di Baling, Kedah, yang mengorbankan 18 nyawa termasuk empat anggota polis ketika operasi pihak berkuasa menahan guru agama, Ibrahim Mahmud.

Hubungan PAS dan UMNO sebelum ini pernah melalui fasa kerjasama apabila kedua-dua parti membentuk Muafakat Nasional (MN) pada 2019.

Namun, pakatan itu tidak bertahan lama selepas PAS menyertai Bersatu dalam pembentukan Perikatan Nasional (PN) pada tahun berikutnya.

Pada Mei lalu, Hadi turut mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan kenyataan bahawa unsur pengkhianatan berada dalam ‘DNA’ PAS.

Menurut Hadi, dakwaan itu tidak berasas kerana UMNO sendiri pernah menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pemimpin dan ahli PAS, walaupun akta tersebut pada asalnya disokong bagi mengekang ancaman komunis.

Beliau turut mendakwa peristiwa berkenaan masih diingati oleh masyarakat Melayu dan menyifatkan tuduhan terhadap PAS sebagai tidak tepat.

BBerkaitan

Latest articles