Gempa 5.7 Magnitud Gegar Utara Sumatera, Gegaran Turut Dirasai Di Pantai Barat Semenanjung

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 yang melanda Utara Sumatera pada tengah hari Rabu turut menyebabkan gegaran dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan, kejadian itu direkodkan pada jam 12.18 tengah hari dengan pusat gempa berada pada koordinat 4.2 darjah Utara dan 97.6 darjah Timur, kira-kira 55 kilometer di barat daya Langsa, Indonesia, pada kedalaman 10 kilometer.

Susulan kejadian itu, orang ramai yang merasai gegaran diminta membantu METMalaysia dengan mengisi borang soal selidik yang disediakan bagi tujuan pengumpulan maklumat dan penilaian impak kejadian.

Di media sosial, beberapa pengguna berkongsi pengalaman merasai gegaran di sekitar Petaling Jaya, Kajang, Puchong, Klang dan Selayang, meskipun tiada laporan mengenai sebarang kerosakan atau kecederaan setakat ini.

Insiden seumpama itu bukanlah sesuatu yang luar biasa memandangkan gempa bumi yang berlaku di wilayah Sumatera sering memberi kesan gegaran sehingga ke Semenanjung Malaysia.

Pada Mac lalu, gempa bumi bermagnitud 6.5 di pesisir barat Sumatera Utara turut dirasai di beberapa kawasan di Semenanjung, namun tiada ancaman tsunami dilaporkan.

Sebelum itu, pada Februari 2022, gempa bermagnitud 6.1 di wilayah sama menyebabkan penghuni beberapa bangunan tinggi di Lembah Klang dan Melaka dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga selepas gegaran dirasai.

BBerkaitan

Latest articles