Faris Johari Dilantik Undang Luak Sungei Ujong Baharu

KUALA LUMPUR: Seorang akauntan muda berusia 29 tahun, Muhammad Faris Johari, secara rasmi dilantik sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 menerusi istiadat adat yang berlangsung di Telaga Undang pada 22 April lalu.

Pengumuman pelantikan itu dibuat oleh Waris Nan Tua Klana Hulu, Datuk Shaharumzaman Abdul Malek bersama Ibu Soko-Ibu Soko serta Waris Klana Hulu dalam satu kenyataan hari ini.

Istiadat kerapatan tersebut turut disaksikan pelbagai pemegang adat termasuk Ibu Soko Waris Negeri, Datuk Lembaga Lingkungan, Buapak Lingkungan dan wakil kerajaan.

Menurut kenyataan berkenaan, pemilihan Faris dibuat berlandaskan salasilah yang termaktub dalam Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910, selain mematuhi prinsip adat ‘patah tumbuh’ sebagaimana diperuntukkan dalam undang-undang tempatan.

Pelantikan itu turut mendapat pengesahan pihak berautoriti adat yang diiktiraf kerajaan Negeri Sembilan.

Dalam masa sama, proses pelantikan tersebut mengekalkan keaslian adat tanpa campur tangan luar, selaras dengan peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Jawatan Undang Luak Sungei Ujong sebelum ini disandang Datuk Mubarak Dohak, namun beliau dilucutkan daripada kedudukan itu dan keputusan berkenaan turut diperakui kerajaan negeri.

Isu itu menjadi perhatian selepas Mubarak bersama tiga Undang lain mengisytiharkan penyingkiran Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11.

Namun, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan tindakan tersebut tidak sah kerana Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa sebagai Undang, selain bercanggah dengan peruntukan undang-undang negeri.

BBerkaitan

Latest articles