Faizal Azumu Mengeluh Masalah Pembayaran Gaji Pemain Yang Dialami PAFA

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengeluh tentang masalah kehilangan pemain yang mungkin akan dihadapi oleh persatuan itu jika gagal membayar gaji pemain yang tertunggak.

Jika gaji tidak dibayar pada 7 Februari nanti, pemain Perak boleh membuat keputusan untuk bermain untuk pasukan lain.

Menurut beliau yang juga bekas Menteri Besar Perak, dalam kontrak para pemain terdapat klausa yang menyatakan pemain boleh buat keputusan untuk meninggalkan Perak jika tidak menerima gaji sehingga tarikh berkenaan.

Ahmad Faizal menyatakan kebimbangannya itu ketika mengumumkan peletakan jawatannya baru-baru ini.

“Inilah yang saya bimbangkan berikutan keengganan Kerajaan negeri menghulur dana kepada Pafa kerana saya masih menjadi presiden.

“Saya bimbang pemain tonggak Perak akan dipancing pasukan lain. Jika itu berlaku tidak ada siapa boleh menahan mereka daripada pergi.

“Rugilah Perak kerana kita memiliki barisan pemain berwibawa yang mampu menjadi pencabar unggul dalam liga Musim ini.

“Berikutan itulah saya mengambil keputusan meletak jawatan cepat agar isu tunggakan gaji pemain dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata, masalah pembayaran gaji PAFA muncul selepas dirinya tidak lagi menjadi Menteri Besar sejak 5 Disember lepas.

“Sebelum ini kita mendapat sumbangan dari pihak swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membiayai pasukan Perak.

“Namun bila sudah hilang kuasa tiada siapa sudi menghulur bantuan lagi. Minta pun orang tak mahu bagi. Telefon pun tidak jawab,” katanya.

Kerajaan negeri Perak sekarang pula enggan menghulur bantuan menyaksikan PAFA tidak dapat membayar gaji pemain dan pegawai selama sebulan setengah iaitu separuh untuk bulan November dan untuk bulan Disember berjumlah kira-kira RM3 juta.

Selain Ahmad Faizal, Timbalan Presiden merangkap pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah turut melepaskan jawatannya.

Latest articles

Related articles

spot_img