Exco Melaka Nasihat Pengayuh Beca Usah Kerap Pasang Lagu Dangdut

KUALA LUMPUR: Sikap ramai pengayuh beca di Melaka yang gemar memainkan lagu dangdut ketika membawa pelancong bersiar-siar sebenarnya memberi kesan yang kurang baik kepada negeri itu.

Apatah lagi Melaka kini giat dalam usaha mempromosikan tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), demikian menurut Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Tambah beliau, ada juga kalangan pelancong membuat aduan kerana tidak selesa dengan lagu dangdut yang dimainkan.

Ujar Abdul Razak, adalah lebih molek jika pengayuh beca memasang lagu-lagu tradisional Malaysia, supaya pelancong terutama dari luar negara dapat mengenali keindahan budaya negara ini.

“Kita nak perkenalkan budaya Melaka, sesekali nak pasang lagu dangdut tu bolehlah tapi janganlah sepanjang masa pasang kuat-kuat sampai penumpang beca pun tak selesa.

“Boleh pasang lagu-lagu Dondang Sayang, lagu tradisonal lain malah itu antara syarat yang akan kita tetapkan untuk dapat lesen atau permit beca,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Amanat Sempena TMM2024 dan Program Pembaharuan Lesen Beca MBMB 2024 di Jalan Kota, Banda Hilir hari ini.

Dalam menggalakkan pengenalan budaya tradisional, Abdul Razak berkata kerajaan negeri akan menyediakan pendrive (pemacu pena) mengandungi lagu-lagu tradisional seperti sebelum ini.

“Lepas ni, kalau nak pasang lagu-lagu selain dari itu, pasanglah tengah-tengah malam bila tiada pelancong kerana beca ini adalah petugas barisan hadapan menjelang TMM2024,” katanya.

Beliau pada masa sama turut mengingatkan persatuan beca di negeri mengikut harga yang sudah diselaraskan untuk membawa penumpang iaitu RM40 bagi satu jam perkhidmatan itu.

“Ini saya lihat ada setengah beca tu, harganya kayangan sebab merasakan sesetengah pelancong itu boleh ‘disembelih’ (bayar mahal).

“Kita nak selaraskan kalau RM25 (kurang satu jam) semua ikut harga itu bukannya ada yang RM25 hingga RM50,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles