KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA) akan membuka lembaran baharu dalam hubungan perdagangan dua hala.
Mengulas lanjut ia merupakan perjanjian perdagangan bebas pertama dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dimana bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi dan perdagangan negara.
“Perjanjian ini dijangka menjadi pemangkin kepada hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih kukuh bukan sahaja antara Malaysia dan UAE malah merangkumi juga dengan negara-negara Teluk yang lain.
“MY-UAE CEPA akan membuka peluang kerjasama ekonomi yang lebih mendalam, termasuk penghapusan/pengurangan tarif dan peningkatan akses pasaran, yang bakal memacu eksport dan mewujudkan peluang pelaburan baharu bagi sektor-sektor utama,” katanya.
Pemeteraian MY-UAE CEPA telah disempurnakan Perdana Menteri dan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, selepas pertemuan dua hala di antara pimpinan dua negara di UAE, hari ini.
Menurut MITI, Inisiatif CEPA UAE adalah bertujuan untuk meningkatkan perdagangan luar negara bukan minyak kepada AS$1 trilion dengan mengukuhkan hubungan dengan pasaran utama di seluruh dunia.
UAE merupakan pasaran penting, menyumbang 40 peratus daripada eksport barangan Malaysia ke negara-negara Arab, menyerlahkan kekuatan perdagangan Malaysia di rantau itu.
Anwar dan delegasi Malaysia mengadakan lawatan kerja tiga hari ke UAE yang berakhir hari ini sebelum berlepas ke United Kingdom.