KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan dua pelajar Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah berakhir apabila kedua-duanya ditemukan selamat di kawasan Pasar Seni, malam tadi.
Kedua-dua pelajar berusia 16 tahun itu ditemukan polis kira-kira jam 10.30 malam sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata operasi mengesan kedua-dua pelajar itu dijalankan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.
“Operasi pencarian dijalankan oleh anggota polis dari IPD Alor Gajah dan kedua-dua pelajar berkenaan ditemukan di kawasan Pasar Seni kira-kira jam 10.30 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebelum dilaporkan hilang, kedua-dua pelajar berkenaan terlebih dahulu mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan di Alor Gajah selepas mengalami masalah kesihatan.
Selepas ditemui, mereka dibawa ke HKL bagi pemeriksaan lanjut sebelum diserahkan semula kepada keluarga.
Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian berkenaan.
Dua pelajar itu, Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad, dilaporkan hilang pada 11 Ogos lalu.
Laporan kehilangan dibuat oleh seorang guru kepada polis pada jam 10.46 malam pada hari sama.
Perkembangan itu turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang sebelum ini meminta orang ramai mendoakan keselamatan kedua-dua pelajar berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya semalam, Asyraf memohon agar mereka dapat ditemukan dan kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.
Beliau kemudiannya mengesahkan pada tengah malam tadi bahawa kedua-dua pelajar itu telah ditemukan polis di sekitar Pasar Seni kira-kira jam 10.31 malam.










