Dua Pelajar MRSM Hilang Ditemui Selamat Di Central Market

KUALA LUMPUR: Dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah yang dilaporkan hilang sejak Selasa berjaya ditemui dengan selamat di sekitar Central Market (Pasar Seni), Kuala Lumpur, malam tadi.

Perkembangan itu disahkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu hantaran di Facebook awal pagi ini.

Menurut beliau, kedua-dua pelajar terbabit, Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad, ditemui hasil usaha pihak Polis Bukit Aman pada kira-kira jam 10.31 malam.

“Alhamdulillah, pihak Polis Bukit Aman berjaya menemui kedua-dua pelajar MRSM Alor Gajah Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang dilaporkan hilang sejak Selasa di sekitar Central Market Kuala Lumpur pukul 10.31 malam tadi,” katanya.

Sebelum ini, Asyraf Wajdi turut merayu orang ramai agar mendoakan keselamatan kedua-dua pelajar berkenaan serta berharap mereka dapat kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.

Kes kehilangan itu mendapat perhatian ramai selepas rayuan tersebut dikongsikan secara meluas di media sosial, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Setakat ini, tiada maklumat lanjut didedahkan mengenai keadaan kedua-dua pelajar atau punca mereka berada di kawasan berkenaan.

Pihak berkuasa akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti keseluruhan kejadian.

BBerkaitan

Latest articles