KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pengumuman potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Hari Raya Aidilfitri akan dilakukan dalam masa terdekat.
Menurut beliau, pemberian potongan itu akan dilakukan kerana ia sudah dijalankan sebelum ini.
“Memang akan ada kerana kita sudah buat untuk Tahun Baharu Cina. Jadi, tak akan kami tidak buat untuk Sambutan Aidilfitri.
“Tidak lama lagi, kementerian akan umum kerana perkara ini masih lagi diperhalusi dan kita semua akan balik kampung dengan diskaun tol,” katanya ketika ditemui media selepas bermesyuarat di Kompleks Kerja Raya, hari ini.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu Alexander memaklumkan mesyuaratnya bersama Anwar hari ini membincangkan tentang cara untuk meningkatkan prestasi kementerian sebagai satu badan pelaksana.
“Kami mengambil maklum terhadap semua saranan beliau yang menekankan terhadap dua perkara. Pertamanya adalah rasa keperluan yang mendesak dan juga kos menjalankan perniagaan supaya projek-projek yang kita laksanakan berbaloi dengan perbelanjaan,” tambahnya.