KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendahului penilaian penerimaan rakyat terhadap calon perdana menteri, namun kajian terbaharu turut mengetengahkan nama Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi sebagai tokoh yang mendapat perhatian.
Kajian Malaysia Prime Minister Candidate Study 2026 oleh Vodus Research merekodkan Anwar dengan tahap penerimaan 46 peratus, manakala 34 peratus responden memilihnya sebagai pilihan utama untuk menerajui negara.
Kajian yang melibatkan 1,482 rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas itu dijalankan dari 18 Ogos hingga 1 September lalu.
Menurut Vodus Research dalam kenyataan hari ini, Anwar turut menjadi tokoh paling dikenali dengan 93 peratus responden mengetahui mengenai beliau.
“Beliau juga tokoh paling dikenali, dengan 93 peratus responden mengetahui mengenainya,” katanya.
Vodus Research mendapati sokongan terhadap Anwar menunjukkan perbezaan mengikut wilayah, dengan Malaysia Timur merekodkan kadar pemilihan sebagai pilihan utama sebanyak 41 peratus berbanding 28 peratus di Semenanjung.
Pengasas Vodus Research, Kelvin Goh, berkata perbezaan itu mungkin sebahagiannya berkait dengan tumpuan pentadbiran Anwar terhadap Sabah dan Sarawak.
Antara isu yang diberi perhatian termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak hasil Sabah serta tuntutan Sarawak untuk mendapatkan kawalan lebih besar terhadap sumbernya.
“Perkembangan ini memastikan isu pelaksanaan janji kerajaan Persekutuan, hak negeri dan keadilan fiskal terus mendapat perhatian di rantau itu, yang mungkin mengukuhkan persepsi terhadap kepimpinan Anwar di sana,” katanya.
Sementara itu, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilihat sebagai antara alternatif utama kepada Anwar dari sudut imej peribadi.
Kajian berkenaan merekodkan tahap penerimaan Khairy sebanyak 32 peratus, sekali gus meletakkannya di tempat kedua bagi ukuran tersebut, walaupun sokongannya sebagai pilihan utama lebih rendah.
Vodus Research berkata penilaian positif terhadap Khairy banyak dikaitkan dengan persepsi terhadap kepimpinan yang kuat dan berkebolehan, visi jelas untuk negara serta kebolehpercayaan.
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz, turut tersenarai antara pemimpin yang mendapat perhatian dalam kajian itu.
Sokongan terhadap beliau banyak didorong keyakinan terhadap kepimpinan, kebolehpercayaan dan keupayaan memacu ekonomi.
Bagaimanapun, Vodus Research berkata pengaruh Onn Hafiz di peringkat nasional masih mempunyai ruang untuk berkembang.
Beliau mencatatkan tahap penerimaan 17 peratus, manakala kadar pengenalan nasionalnya berada pada 42 peratus.
Kajian itu turut meneliti persepsi terhadap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, yang mendapat penilaian tinggi dalam aspek integriti, tadbir urus baik dan keupayaan memacu ekonomi.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, pula kekal dikaitkan dengan agenda reformasi institusi.
Menurut Vodus Research, responden yang berpandangan positif terhadap Rafizi turut menganggap komitmennya memerangi rasuah sebagai antara kekuatan beliau.
Namun begitu, Rafizi merekodkan kadar penolakan sebanyak 20 peratus, yang memberi kesan terhadap tahap penerimaan keseluruhannya.
Kelvin berkata penilaian rakyat terhadap bakal pemimpin negara tidak boleh dilihat semata-mata sebagai persaingan populariti.
“Seseorang tokoh yang mencatat prestasi baik dalam satu aspek tidak semestinya mendahului dalam aspek lain,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa setiap tokoh menerima sokongan atas faktor berbeza, termasuk kepimpinan, integriti, kebolehpercayaan, visi serta keupayaan mengurus ekonomi.










