KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil langkah pantas menghentikan penyiaran siri animasi Cleopatra in Space selepas menerima aduan penonton yang mendakwa kandungan tersebut mengandungi elemen berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Dalam satu kenyataan, RTM memaklumkan siri berkenaan sebelum ini ditayangkan di TV2 pada 18 dan 19 April lalu, masing-masing pada pukul 9 pagi.
Bagaimanapun, keputusan menghentikan siaran dibuat susulan maklum balas yang diterima daripada orang ramai.
Menurut penyiar awam itu, tindakan tegas telah diambil dengan memberhentikan sepenuhnya siaran animasi terbabit selain melaksanakan siasatan dalaman secara menyeluruh bagi menilai kandungannya.
“RTM sentiasa komited dalam memastikan setiap program yang disiarkan memenuhi standard kualiti, selamat ditonton serta selari dengan sensitiviti masyarakat, agama dan norma budaya tempatan,” menurut kenyataan tersebut.
Pada masa sama, RTM turut menghargai pandangan penonton yang tampil memberikan maklum balas, sambil menegaskan bahawa respons itu penting bagi memastikan mutu kandungan siaran sentiasa terpelihara.
Terdahulu, RTM juga pernah menggantung penyiaran kartun Santiago of the Seas selepas timbul dakwaan wujud unsur berkaitan LGBT secara tidak langsung dalam rancangan tersebut.










