NexG Nilaikan RM7.5 Bilion, Selepas Kerajaan Minta Harga Indikatif Kemungkinan Pengambilalihan DTSB

​KUALA LUMPUR: Kumpulan NexG Bhd dimaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia telah meminta harga indikatif berhubung kemungkinan pengambilalihan anak syarikat milik penuhnya, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB).

​Menurut kenyataan syarikat itu hari ini, susulan permintaan berkenaan, Lembaga Pengarah NexG telah membuat penilaian awal secara dalaman berasaskan kaedah sum-of-parts dan menilaikan DTSB pada anggaran RM7.5 bilion.

​DTSB merupakan entiti perniagaan teras serta penyumbang utama kepada hasil dan pendapatan kumpulan.

Syarikat itu menjelaskan bahawa sekiranya pelupusan perniagaan itu berlaku, NexG secara efektif tidak lagi mempunyai perniagaan teras sekali gus kehilangan aset terpenting atau ‘Crown Jewel’ yang menjadi paksi kepada pelan ekspansi serantau dan antarabangsa.

​Lembaga Pengarah NexG memaklumkan bahawa penilaian RM7.5 bilion berkenaan merupakan penilaian dalaman awal semata-mata dan bukannya penilaian bebas, harga yang dipersetujui atau satu tawaran tetap.

Syarikat turut mengambil maklum nilai yang ditaksirkan itu adalah jauh melebihi permodalan pasaran semasa NexG Berhad sebagai syarikat induk tersenarai, iaitu sekitar RM1.04 bilion.

​Atas dasar itu, perimbangan Lembaga Pengarah terhadap permintaan kerajaan tidak harus ditafsirkan sebagai satu persetujuan atau komitmen untuk memasuki sebarang transaksi, memandangkan tiada sebarang keputusan dibuat untuk meneruskan transaksi dan tiada perjanjian dicapai setakat ini.

​Pengerusi Eksekutif Kumpulan NexG Bhd, Datuk Ishak Ismail berkata tugas dan kewajipan kumpulan itu kekal kepada pemegang saham dan juga negara.

“Sebarang transaksi mestilah mencerminkan nilai saksama perniagaan, mengekalkan keupayaan secara utuh, melayan setiap pemegang saham secara adil dan saksama, serta memelihara keselamatan nasional,” katanya.

​Lembaga Pengarah menegaskan sekiranya perkara ini berterusan melepasi peringkat awal, pertimbangan bagi sebarang transaksi berpotensi akan dipandu oleh tiga prinsip utama iaitu mestilah pada nilai saksama, melayan semua pemegang saham secara adil di bawah terma sama, serta memelihara keselamatan dan kesinambungan keupayaan identiti nasional yang dikendalikan oleh DTSB.

​”Atas dasar berkenaan, kami akan berinteraksi secara konstruktif dan bertanggungjawab untuk mencapai hasil yang terbaik untuk negara serta saksama bagi semua pihak yang telah membantu membangunkan syarikat ini,” katanya lagi.

​DTSB merupakan penyedia penyelesaian identiti nasional bersepadu dan berdaulat yang telah berkhidmat kepada negara sejak 1999 sebagai pembekal dokumen keselamatan dan identiti Malaysia.

Entiti itu adalah pembekal kad pengenalan MyKad, serta vendor bagi pasport pematuhan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia sejak 2012, selain memegang mandat bagi kad identiti struktur baharu MyKad, MyTentera, dan MyPOCA.

​Bagi program identiti kebangsaan semasa, DTSB telah membuat pelaburan komited kira-kira RM1.9 bilion merangkumi sumber manusia, peralatan, penaiktarafan sistem, serta dua kilang pembuatan di Petaling Jaya dan Meru.

​Selain infrastruktur fizikal, DTSB sedang membangunkan ekosistem digital modular merangkumi platform pengesahan identiti QR biometrik serta dompet digital kerajaan dinamakan ‘SALUR’ bagi membolehkan pengagihan subsidi dan bantuan tersasar tanpa mengenakan sebarang kos perolehan platform kepada kerajaan.

​NexG menyatakan bahawa sekiranya pelupusan perniagaan teras itu diteruskan, syarikat akan mematuhi Syarat Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia termasuk mendapatkan kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) serta melantik penasihat bebas.

​Di samping itu, Lembaga Pengarah berhasrat untuk memperuntukkan sebahagian daripada hasil transaksi bagi pengagihan dividen kepada pemegang saham sekiranya sebarang transaksi dimuktamadkan dengan kerajaan kelak.

BBerkaitan

Latest articles