KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi memanfaatkan peluang besar susulan kembalinya Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), terutama dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan meningkatkan potensi eksport, menurut analisis terbaru oleh Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik (KSI) dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL).
Dalam kenyataan bersama pada Sabtu, KSI dan ECKL menyatakan bahawa langkah Trump untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas barangan import dari China mulai 1 Februari ini boleh memberi impak positif kepada Malaysia.
Syarikat-syarikat global mungkin mempertimbangkan untuk memindahkan operasi ke negara seperti Malaysia, memanfaatkan kedudukan strategik dan kelebihan dalam sektor pembuatan.
Sebagai pengeksport utama produk dan komponen elektronik ke AS, Malaysia dijangka berdepan kesan terhadap daya saing eksportnya.
Namun, usaha syarikat untuk mempelbagaikan rantaian bekalan dari China, melalui strategi “China Plus One,” membuka ruang kepada Malaysia untuk menarik pelaburan baharu.
“Industri semikonduktor Malaysia, yang menguasai sekitar 13 peratus pasaran global dalam pembungkusan dan pengujian cip, berpeluang menarik lebih banyak pelaburan dalam situasi ini,” menurut laporan itu.
KSI dan ECKL menambah bahawa peningkatan ketegangan perdagangan antara AS dan China di bawah pentadbiran Trump berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan FDI dalam sektor elektronik, jentera, dan minyak sawit di Malaysia.
“Malaysia boleh menyaksikan tambahan FDI yang mampu menyumbang sehingga RM19.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh empat tahun, bersamaan dengan peningkatan satu peratus,” jelas laporan tersebut.
Dasar tenaga Trump, yang memberi penekanan kepada sektor tradisional seperti bahan api fosil, juga dijangka membawa kesan kepada Malaysia.
“Sebagai pengeksport minyak bersih, Malaysia mungkin menghadapi penurunan hasil akibat harga tenaga global yang lebih rendah.
Namun, syarikat petroleum Malaysia boleh mencari peluang baharu jika insentif tenaga boleh baharu di AS dikurangkan, meningkatkan permintaan terhadap bahan api tradisional,” kata KSI dan ECKL.
Kembalinya Trump ke Rumah Putih turut membawa cabaran yang memerlukan Malaysia mengambil pendekatan dasar yang berhati-hati dan proaktif untuk melindungi kestabilan ekonominya.
Kekuatan asas Malaysia, termasuk kepelbagaian ekonomi, kedudukan strategik, infrastruktur moden, tenaga kerja mahir, dan sistem kewangan yang kukuh, memberi kelebihan untuk menghadapi cabaran ini.
“Pembuat dasar harus memanfaatkan kelebihan ini dengan mempelbagaikan rakan perdagangan, menarik FDI, meningkatkan pendigitalan, dan membina daya tahan dalam sektor utama,” kata kenyataan itu.
Walaupun terdapat cabaran terhadap sektor pembuatan dan elektrik dan elektronik (E&E) yang bergantung kepada eksport, KSI dan ECKL yakin kedudukan strategik Malaysia mampu memberikan penampan terhadap kesan buruk daripada dasar Trump.
Dengan strategi yang tepat, Malaysia berpotensi mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang stabil dalam menghadapi perubahan global. — BERNAMA