Dakwaan TH Akibat Kejatuhan Saham Pada 2018 Hanya Tohmahan

KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa Tabung Haji (TH) mengalami kerugian berpunca daripada kejatuhan pasaran saham pada 2018 disifatkan sebagai tohmahan, memandangkan keadaan pasaran ketika itu berada pada tahap kukuh.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pasaran saham mencatat prestasi tinggi pada 2018, manakala penurunan yang berlaku pada tahun berkenaan hanya sekitar enam peratus.

Namun begitu, beliau berkata nilai pegangan saham TH pada ketika itu mengalami penyusutan yang jauh lebih ketara berbanding penurunan keseluruhan pasaran.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji di Parlimen, semalam.

Menurut beliau, langkah memperkemas pengurusan serta perubahan dalam komposisi Lembaga Pengarah TH selepas 2018 turut memberi kesan positif terhadap kawalan dalaman dan tadbir urus institusi berkenaan.

Amir Hamzah berkata, perkembangan prestasi TH selepas 2018 menjadi antara contoh keberkesanan penambahbaikan yang dilaksanakan, walaupun institusi itu ketika itu perlu merekodkan susut nilai kira-kira RM2.6 bilion terhadap pegangan yang masih dimilikinya.

Katanya, TH tetap mampu mengagihkan hibah kepada pendeposit dengan jumlah yang menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun selepas perubahan tersebut dilaksanakan.

“Ini contoh yang telah dibuat kerana perubahan yang telah diadakan dalam Tabung Haji,” katanya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah turut menyentuh cadangan RCI agar pengumuman hibah TH dibuat hanya selepas penyata kewangan institusi berkenaan selesai diaudit.

Beliau berkata pendekatan itu berbeza dengan amalan terdahulu yang membabitkan pengisytiharan secara pro forma.

Katanya, pelbagai penambahbaikan yang telah dilaksanakan ketika ini turut menangani kebimbangan berkaitan kelemahan dan isu pengurusan yang berlaku sebelum ini.

“Oleh itu, sebarang kebimbangan mengenai isu yang berlaku sebelum ini telah ditangani melalui penambahbaikan yang dilaksanakan sekarang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles