KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Iliyas Jamil, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini terhadap tujuh pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.45 juta yang dikaitkan dengan projek naik taraf Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil.
Tertuduh yang berusia 42 tahun membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Ketika diminta memberikan pengakuan, beliau menjawab ringkas, “Faham… tidak bersalah,” sebelum memohon agar kes dibicarakan.
Mengikut pertuduhan pertama, Iliyas didakwa meminta wang suapan RM1 juta daripada seorang individu, Yap Yeow Kuen, 60, sebagai balasan untuk bersetuju memilih Aerolux Power Constructions Sdn. Bhd. sebagai kontraktor yang berjaya memperoleh tender projek menaik taraf gelanggang dan kemudahan sukan di Pusat Skuasy Nasional, Kuala Lumpur Sports City (KLSC), Bukit Jalil.
Projek berkenaan dilaporkan bernilai RM8.73 juta dan melibatkan kerja-kerja penambahbaikan fasiliti sukan di kompleks tersebut. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perbadanan Stadium Malaysia, Aras 2, Stadium Nasional KLSC, Sri Petaling pada 24 Februari lalu.
Bagi enam pertuduhan lain, Iliyas didakwa menerima suapan berjumlah keseluruhan RM450,000 yang mempunyai kaitan dengan projek sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat PSM serta sebuah restoran di Seri Petaling antara 25 Februari hingga 13 April lalu.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun selain denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.










