Cadangan Mansuh AUKU Dibawa Ke Kabinet Rabu Depan – Anwar

MELAKA: Cadangan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri Rabu depan untuk penelitian dan keputusan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau sendiri akan mengemukakan cadangan berkenaan kepada Kabinet selepas mengambil kira pandangan serta bantahan yang terus disuarakan mahasiswa terhadap akta terbabit.

“Saya akan membawa ke Kabinet hari Rabu,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PKR pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada cadangan pemansuhan AUKU sudah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Dalam ucapan dasarnya sebelum itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan bercadang memansuhkan AUKU, antara lain berikutan suara bantahan yang berterusan daripada golongan mahasiswa.

AUKU diperkenalkan pada 1971 dan sudah melalui beberapa siri pindaan bagi menyesuaikan peruntukannya dengan perkembangan semasa institusi pengajian tinggi.

Antara pindaan penting ialah pada 2012 yang membolehkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus.

Akta berkenaan turut mengalami pindaan pada 1971, 1975, 1983, 1996 dan 2009.

Pindaan terbaharu pada 2024 pula mengubah mekanisme pengendalian tindakan tatatertib pelajar di universiti awam apabila kuasa berkenaan tidak lagi diletakkan sepenuhnya di bawah Naib Canselor.

Sebaliknya, tindakan tatatertib diputuskan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan terhadap Seksyen 16B AUKU.

Selain itu, pindaan Seksyen 15A memberi ruang lebih luas kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan pelajar untuk mengumpul dana serta menerima sumbangan, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang bertulis yang berkuat kuasa.

BBerkaitan

Latest articles