Bukan Kejar ‘Ranking’ Semata-mata, IPT Perlu Tampil Kelainan, Kecemerlangan Pelajar

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendukung titik keseimbangan dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara melalui kaca mata yang holistik.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kafir berkata, hala tuju itu penting bagi mengelakkan setiap institusi pengajian tinggi hanya mengejar pencapaian berdasarkan ranking semata-mata.

“Kita mengiktiraf dan menghargai setiap ranking yang dicapai oleh IPTA mahupun IPTS dalam negara tetapi pelbagai perkara lain yang perlu juga diberi perhatian.

“Suka untuk saya kongsikan ada beberapa IPTA berada dalam senarai ranking terbaik di dunia sekarang termasuk Sunway University sendiri turut berada dalam senarai dan disebabkan itu juga ribuan pelajar luar negara datang belajar di sini,” katanya ketika berucap merasmikan Kemuncak Universiti-universiti Asia 2024 anjuran Times Higher Education (THE: AUS’24) di Sunway University.

“Saya turut menegaskan bahawa KPT mengutamakan kemenjadian mahasiswa, sambil memastikan yang universiti kekal fokus pada peranan masing-masing.

“Antaranya pembangunan bakat; menghasilkan penerbitan bermutu dan berintegriti; penyelidikan berkualiti dan berimpak tinggi bagi pembangunan bangsa; serta menjajarkan pencapaian ranking masing-masing kepada konteks dan aspirasi tempatan, terutamanya gagasan Malaysia MADANI.

“Ranking secara semula jadinya meningkatkan persaingan dan penambahbaikan yang berterusan; mengangkat budaya inovasi dan penyelidikan; sekali gus menjadi penanda aras sesama Institusi-institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di pentas tempatan dan juga global, yang mampu meningkatkan keterserlahan untuk jalinan kerjasama dan kolaborasi.

“Namun, di era dunia serba mencabar kini, KPT tidak mahu IPT bersifat “isomorphic mimicry” yang meniru bulat-bulat apa sahaja yang dilaksanakan oleh komuniti-komuniti lain tanpa menimbangkan kelainan serta manfaatnya kepada negara.

“Pastikan kelainan yang dicari adalah setimpal dengan kekuatan dan kelebihan yang ada pada setiap IPT. Kita mahukan kecemerlangan sebenar yang mempunyai impak, serta penyelesaian masalah yang praktikal,” ujarnya.

Dalam masa yang sama Zambry memberitahu pendirian kementerian itu selaras dengan harapan kerajaan untuk melahirkan bakat kalis masa hadapan (future-proof) yang kompeten, komited, serta berkeyakinan mendepani dunia yang berkecamuk, kompleks dan sentiasa bercanggah.

“Saya yakin universiti-universiti kita mampu memainkan peranan yang penting dalam gagasan tersebut,” katanya lagi.

Dalam majlis yang sama, KPT diwakili Zambry dan Tan Sri Sir Dr. Jeffrey Cheah iaitu Pengasas dan Pengerusi Sunway University memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) antara Sunway University dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membangunkan program Perubatan Kedoktoran Sunway University yang dijangka bakal memperkasakan lagi sektor kesihatan negara.

BBerkaitan

Latest articles