TAMPIN: Barisan Nasional (BN) tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada formula kemenangan besar yang dicapai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk menghadapi PRN Negeri Sembilan kerana landskap politik kedua-dua negeri mempunyai cabaran yang berbeza.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kejayaan BN di Johor bukan dicapai menerusi satu faktor semata-mata, sebaliknya hasil gabungan tiga elemen utama iaitu kekuatan parti, pemilihan calon yang berkualiti dan jentera yang berfungsi secara berkesan.
Menurutnya, ketiga-tiga aspek itu perlu diterapkan di Negeri Sembilan bagi memastikan calon BN memperoleh keyakinan serta sokongan pengundi.
“Di Johor kita menang kerana tiga perkara ini dipenuhi iaitu parti yang kuat, calon yang berkemampuan dan jentera yang bekerja bersungguh-sungguh.
“Namun apabila kita berada di Negeri Sembilan, kita perlu memahami bahawa negeri ini mempunyai kekuatan dan cabaran tersendiri. Kita tidak boleh menganggap formula yang sama akan berjaya secara automatik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama jentera BN Tampin, semalam.
Johari menegaskan, jentera pilihan raya memainkan peranan penting sebagai penghubung antara calon dengan rakyat sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, kekuatan parti serta calon yang berkualiti tidak akan membawa hasil sekiranya jentera gagal bergerak secara tersusun dan bersatu.
“Kalau parti kita kuat dan calon kita baik, tetapi jentera lemah atau berpecah sesama sendiri, sudah tentu sukar untuk calon mendapat sokongan rakyat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kemenangan BN di Negeri Sembilan penting dalam usaha mengukuhkan semula penguasaan parti di peringkat negeri sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Menurutnya, BN juga perlu terus melahirkan barisan pemimpin baharu yang mampu meneruskan perjuangan parti berasaskan rekod pencapaian serta pengalaman yang telah dibina selama ini.










