BN Sah Tidak Hantar Calon di Sungai Bakap

SERDANG: Barisan Nasional (BN) mengesahkan tidak meletakkan calon pada PRK Sungai Bakap kerana menghormati kerusi tradisi Pakatan Harapan (PH), kata Setiausaha Agungnya Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, tidak timbul lagi soal BN akan bertanding berikutan menghormati keputusan yang telah dibuat.

“Jadi soal, siapa nak jadi calon daripada BN.. tidak ada. Tidak timbul lagi. Telah dipersetujui,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Blueprint Keterjaminan Makanan Dan Anjur Karnival Keterjaminan Makanan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Hadir sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Barisan Nasional yang pernah memenangi kerusi itu pada PRU 2004, sebelum dirampas PH dan kemudian PN pada PRN Ogos lalu, di mana calonnya, Nor Zamri Latiff yang juga ketua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose.

Dalam pada itu, Zambry berkata BN akan memberi sokongan tidak berbelah bahagi untuk memastikan calon daripada kerajaan perpaduan menang PRK Sungai Bakap.

“Maknanya semua pihak dalam konteks kerajaan Madani akan beri kerjasama yang mantap. Dalam pastikan kejayaan calon kita,” katanya.

PRK Sungai Bakap akan diadakan pada 6 Julai dengan penamaan calon dijadualkan 22 Jun.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azmi Sharom berkata undi awal pula akan diadakan pada 2 Julai.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian Adun PAS daripada Perikatan Nasional (PN) Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan perut.

BBerkaitan

Latest articles