DUN Melaka Dijangka Bubar Petang Ini

MELAKA: Teka-teki pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka terjawab petang ini apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dijangka mengumumkan perkara itu pada sidang media khas sekitar jam 3 petang.

Pengumuman itu dijangka dibuat di Kompleks Seri Negeri selepas Mesyuarat Exco yang dijadualkan tengah hari ini, diikuti Mesyuarat Post-Exco pada jam 2 petang.

Menurut sumber, surat berkaitan pembubaran DUN juga difahamkan sudah ditandatangani Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Bagaimanapun, perkara itu masih belum disahkan secara rasmi setakat ini.

Perubahan jadual Mesyuarat Exco yang lazimnya berlangsung pada Rabu kepada Selasa hari ini turut dilihat sebagai antara petunjuk bahawa proses pembubaran DUN semakin hampir.

Sumber berkata, surat jemputan kepada kesemua 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) untuk hadir di Seri Negeri pada jam 2.30 petang turut diedarkan sejak malam tadi.

“Surat kepada semua 21 ADUN BN sudah diedarkan malam tadi.

“Pejabat Ketua Menteri pula dijangka mengedarkan jemputan kepada media tengah hari ini sebagai persediaan sidang media Ab Rauf petang nanti,” katanya.

Melaka mempunyai 28 kerusi DUN, manakala penggal semasa akan berakhir pada 31 Disember ini.

BBerkaitan

Latest articles