BERSATU Dakwa Dokumen PN Tidak Lengkap, Bantah Kemasukan PCM

KUALA LUMPUR, — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendakwa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah mengesan beberapa dokumen yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) kepada jabatan itu tidak lengkap dan tidak ditandatangani.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata perkara itu dimaklumkan menerusi surat JPPM bertarikh 22 Jun 2026 yang meminta PN mengemukakan maklumat tambahan dalam tempoh tujuh hari mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.

Menurut beliau, JPPM juga berhak menangguhkan pertimbangan terhadap penerimaan rekod barisan kepimpinan Majlis Tertinggi PN sehingga semua isu berkaitan diselesaikan.

Katanya, wakil BERSATU telah membangkitkan perkara tersebut dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Tergempar PN malam tadi dan berpendirian mesyuarat berkenaan sepatutnya ditangguhkan sehingga maklum balas rasmi JPPM diperjelaskan.

“Namun mesyuarat diteruskan juga dan ia berkemungkinan bertentangan dengan kehendak JPPM untuk memastikan segala urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan PN serta Akta Pertubuhan 1966,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Faizal berkata wakil BERSATU turut membantah cadangan menerima Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai anggota baharu PN.

Beliau mendakwa bantahan itu dibuat kerana PN ketika ini masih berdepan isu dalaman susulan keputusan PAS menamatkan hubungan politik dengan BERSATU, dan kemasukan parti baharu yang dipimpin bekas ahli-ahli BERSATU yang dipecat hanya akan menambah kerumitan dalam gabungan tersebut.

Menurutnya, permohonan PCM juga didakwa tidak teratur kerana dikemukakan oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah atas kapasiti sebagai Setiausaha Agung PCM, sedangkan semakan rasmi mendapati jawatan itu kini disandang individu lain.

Selain itu, beliau mendakwa maklumat kepimpinan yang dikemukakan melibatkan Parti Wawasan Negara sedangkan permohonan dibuat atas nama PCM.

Ahmad Faizal turut mendakwa perubahan nama PCM kepada Parti Wawasan Negara serta perubahan kepimpinan parti berkenaan masih belum diluluskan oleh JPPM setakat semakan terakhir yang dibuat BERSATU.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan menerima keanggotaan PCM secara tergesa-gesa tanpa menunggu penyelesaian isu berkaitan boleh menimbulkan implikasi dari sudut pematuhan Akta Pertubuhan 1966.

Menyentuh persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Ahmad Faizal berkata wakil BERSATU yang diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut membangkitkan soal pembahagian kerusi dan menegaskan calon-calon BERSATU akan menggunakan logo PN.

Beliau berkata pendirian itu dipersetujui oleh Pengerusi PN dan BERSATU akan mengemukakan senarai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang akan ditandingi bagi tujuan penyediaan watikah serta surat kebenaran menggunakan simbol gabungan berkenaan.

Ahmad Faizal menegaskan sebagai parti pengasas PN, BERSATU akan terus memastikan segala urusan pentadbiran, pengurusan dan aktiviti gabungan itu dilaksanakan mengikut peruntukan Perlembagaan PN, Akta Pertubuhan 1966 serta peraturan yang ditetapkan JPPM.

BBerkaitan

Latest articles