Bersama Sasar 15 Kerusi PRN Johor, Tumpu Kawasan Kubu Kuat BN

JOHOR BAHRU: Parti Bersama Malaysia mengesahkan hasratnya untuk bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, termasuk beberapa kawasan yang sebelum ini dimenangi oleh Umno-Barisan Nasional (BN).

Dalam kenyataan rasmi, parti itu memaklumkan bahawa pemilihan kerusi dibuat berdasarkan analisis menyeluruh terhadap demografi pengundi, corak pengundian serta dapatan kaji selidik yang dijalankan sepanjang enam bulan lalu.

Antara kerusi yang dikenal pasti untuk ditandingi ialah Bukit Naning, Mahkota, Tiram, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Permas, Larkin, Stulang, Perling, Kempas, Skudai, Kota Iskandar, Bukit Permai, Bukit Batu dan Senai.

Menurut Bersama, selain faktor kecenderungan pengundi, tahap sokongan terhadap parti di setiap kawasan turut menjadi pertimbangan utama. Penilaian itu dibuat berdasarkan jumlah keahlian di peringkat Parlimen serta perkembangan sokongan yang direkodkan di kawasan-kawasan berkenaan.

Parti berkenaan turut menjelaskan bahawa proses pemilihan kerusi dan calon mengambil kira kesesuaian individu yang bakal diketengahkan, termasuk perintis awal perjuangan Bersama di Johor serta sukarelawan yang aktif membantu gerakan parti.

Bersama turut mengajak ahli parti dan orang ramai yang berminat untuk menyertai jentera pilihan raya supaya mendaftar sebagai sukarelawan kempen melalui laman sesawang rasmi parti.

Malah, sistem pendaftaran ejen pengundian juga telah dibuka bagi memperkukuhkan persediaan menghadapi PRN.

Dalam perkembangan sama, Bersama memaklumkan platform kempen bersepadu yang dibangunkan bagi memudahkan penyelarasan aktiviti pilihan raya akan dilancarkan esok.

Platform tersebut membolehkan ahli dan sukarelawan dari seluruh negara memilih aktiviti kempen berdasarkan tarikh, masa, lokasi serta jenis tugasan yang ingin disertai.

Menurut parti itu, pendekatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperkenalkan model kempen pilihan raya moden yang lebih menjimatkan kos, dengan memberi tumpuan kepada penglibatan sukarelawan secara besar-besaran berbanding perbelanjaan kempen yang tinggi.

Terdahulu, Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli, mendedahkan bahawa seramai 73 individu telah menawarkan diri untuk menjadi calon parti itu dalam PRN Johor.

Senarai pendek calon yang akan mewakili Bersama dijangka diumumkan pada Jumaat ini.

BBerkaitan

Latest articles