KUALA LUMPUR: Walaupun gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2026, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan rekod kepimpinannya selama 22 tahun sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan sebagai sesuatu yang membanggakan.
Menurut beliau, ketika mula menerajui DAP Negeri Sembilan pada 2004, parti itu hanya memiliki dua kerusi DUN, namun kini berjaya membina kekuatan politik yang jauh lebih kukuh.
Anthony berkata, DAP bukan sahaja mempunyai dua Ahli Parlimen di negeri itu, malah masih berjaya mengekalkan sembilan kerusi DUN pada PRN baru-baru ini.
“Saya bangga dengan pencapaian DAP Negeri Sembilan. Ketika saya mula memimpin pada 2004, kita hanya menang dua kerusi. Hari ini, selepas 22 tahun, parti jauh lebih kuat berbanding ketika itu,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, malam tadi.
Anthony berkata, perkembangan itu menjadi bukti usaha membangunkan parti di Negeri Sembilan sepanjang lebih dua dekad membuahkan hasil, sekali gus menjadi antara faktor beliau berasakan sudah tiba masanya kepimpinan negeri diserahkan kepada generasi lain.
Dalam sidang media yang sama, Anthony turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas tewas di DUN Chennah pada PRN lalu.










