Berada Di Blok Kerajaan, Tapi Masih MP PN – Mohd Azizi

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim menegaskan dirinya masih seorang Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) biarpun menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hal itu dinyatakannya ketika mengutarakan soalan kedua pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), selepas Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyatakan keberadaannya di blok kerajaan.

“Saya masih Ahli Parlimen Perikatan Nasional dan saya juga mengesahkan kenyataan yang dibuat itu adalah daripada saya sendiri tanpa ada apa-apa unsur paksanaan atau pun sebaliknya.

“Itu semua dari keikhlasan saya,” katanya sebelum mengutarakan soalan kepada Anwar di Dewan Rakyat.

Pada 7 November lalu, Mohd Azizi mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri untuk memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela selain terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

“Setelah meneliti dan mendengar pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dengan matlamat utama untuk memangkinkan pemulihan ekonomi di samping meringankan beban kewangan rakyat, saya selaku Ahli Parlimen Gua Musang mengisytiharkan untuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif-inisiatif Kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

BBerkaitan

Latest articles