Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff
Sungguhpun berhadapan dengan pelbagai kritikan dan tohmahan setelah berhadapan dengan keputusan PRU-15 yang kurang memberangsangkan, kepimpinan UMNO/BN di bawah kendalian YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat berjaya menyelamatkan parti tersebut daripada terus terpinggir di dalam arena politik negara.
Namun begitu, penulis faham akan sentimen segelintir ahli UMNO yang sedikit “merajuk” kerana pada ketika ini Kerajaan Perpaduan yang disertai oleh parti tersebut telah bergabung dengan parti PKR dan DAP yang disifatkan sebagai “musuh” tradisi parti keramat Melayu ini.
Memang sukar bagi sesetengah ahli UMNO untuk menerima gabungan ini berlaku, kerana sepertimana DAP yang melihat UMNO sebagai parti konservatif Ultra-Melayu, UMNO juga melihat DAP sebagai sebuah parti lawan yang nilai-nilainya tidak sepadan dengan apa yang diperjuangkan oleh UMNO.
Perkara ini berlainan dengan PKR yang ditubuhkan akibat daripada tindakan Tun Dr. Mahathir (Che Det) yang telah menganiaya Datuk Seri Anwar Ibrahim (Anwar).
Jika Che Det tidak berlawanan dengan Anwar dan hal-hal fitnah memfitnah ini tidak berlaku, mungkin UMNO/BN keadaannya tidak segundah sekarang.
Mungkin, jika tidak diharu birukan oleh Che Det, hiraki turutan Perdana Menteri Malaysia tidak sekecamuk sepertimana yang kita lihat berlaku pada 5 – 6 tahun kebelakangan ini.
Mungkin juga Team Wawasan, iaitu satu pakatan politik dalaman UMNO yang wujud semasa pemilihan UMNO tahun 1993 akan terus mekar ukhwahnya, sekaligus tidak akan wujudnya PPBM dan Warisan ataupun mana-mana serpihan UMNO yang terhasil daripada percakaran dalaman parti tersebut.
Dipendekkan cerita, setelah lebih 22 tahun menunggu, akhirnya pada tahun 2022 Anwar telah berjaya menjadi Perdana Menteri di atas sokongan Pakatan Harapan + GPS + UMNO/BN dan lain-lain.
Penyertaan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Anwar ini merupakan satu tajdid atau pembaharuan yang memperlihatkan sisi lain parti tersebut.
Walaupun tidak mempunyai jumlah kerusi yang banyak, UMNO mempunyai peranan yang prominen di dalam kabinet dan berupaya meneruskan perjuangan parti tersebut dalam keadaan yang amat selesa.
Sekiranya benar perjuangan UMNO adalah untuk memperkasakan Islam dan memartabatkan Bumiputera, maka inilah pentas terbaik untuk parti tersebut meneruskan kesinambungan iltizam mereka.
Malah secara tidak langsung, UMNO akan dapat membuka ruang untuk lebih banyak sokongan diberikan kepada mereka, khususnya dari kalangan “orang-orang bandar” yang dahulunya melihat UMNO sebagai sebuah parti kuno semata-mata.
Boleh dikatakan, tindakan Zahid Hamidi ini telah memberikan nafas baharu untuk UMNO kekal relevan di mata rakyat dan juga mewujudkan satu jambatan untuk orang-orang bukan Melayu, yang selama ini melihat UMNO sebagai sebuah parti yang hanya memperjuangkan agenda ketuanan Melayu menyaksikan rasional aspirasi ini untuk diteruskan dalam masyarakat berbilang kaum.
Dari sudut percaturan politik pula, tindakan Zahid Hamidi untuk bersekutu dengan Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan adalah lebih logik berbanding bergabung dengan Perikatan Nasional.
UMNO/Barisan Nasional akan terus terpinggir sekiranya menyokong Perikatan Nasional kerana permusuhan UMNO dan PPBM yang diasaskan oleh Che Det masih lagi segar.
Lihat sahaja pentadbiran Tan Sri Mahiaddin @ Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri yang begitu tidak stabil disebabkan pergaduhan antara pemimpin kedua-dua parti Melayu tersebut sebelum ini.
Mana mungkin persahabatan UMNO dan PPBM dapat dikekalkan kerana PPBM itu dilahirkan kononnya untuk menjadi pengganti UMNO.
Adalah tidak munasabah untuk UMNO memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional yang diketuai oleh PPBM sekaligus merencatkan lagi perkembangan sokongan UMNO dikalangan orang Melayu di negara ini.
Sewajarnya ahli-ahli UMNO berterima kasih kepada Zahid Hamidi kerana sungguhpun beliau mendapat kritikan yang sangat hebat dari kalangan rakyat dan juga sesetengah ahli-ahli UMNO sendiri, dia masih lagi berupaya untuk menjadikan UMNO sebagai sebahagian daripada parti pemerintah dan meningkatkan lagi keupayaan parti tersebut untuk terus berkembang di masa hadapan.
Sewajarnya, pada Persidangan Agung Tahunan UMNO Kali ini, kedua-dua jawatan tertinggi parti tersebut jangan dipertandingkan.
Jika diteruskan juga pemilihan ini, dikhuatiri walau siapapun yang menang, perpecahan UMNO akan jadi lebih meruncing sekaligus memberikan kesan kepada pentadbiran negara.
Rakyat Malaysia sudah tidak sanggup lagi melihat pertukaran kerap kerajaan sepertimana yang berlaku pasca PRU-14 yang lepas.
Ini adalah masanya untuk satu rekonsiliasi atau langkah perdamaian dilaksananakan secara besar-besaran di dalam UMNO.
Biarkan dahulu pentadbiran ini kekal dan sewajarnya pemilihan baharu hanya dilakukan sebelum PRU-16 akan datang.
Pada ketika ini, kunci kestabilan negara berada di tangan para pemimpin, perwakilan dan ahli UMNO. Oleh yang demikian kita amat berharap kesemua ahli UMNO dapat berfikiran rasional dan berusaha untuk memperkukuhkan lagi kekuatan parti demi manfaat seluruh rakyat Malaysia.
Nota kepada editor:
Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff adalah seorang peguambela dan peguamcara yang menetap di Shah Alam, Selangor.