ASEAN Perlu Percepat Integrasi Tenaga, Anwar Ingatkan Ancaman Krisis Global, Ledakan AI

KUALA LUMPUR: ASEAN tidak lagi mempunyai pilihan untuk menangguhkan usaha integrasi tenaga serantau apabila dunia berdepan krisis tenaga yang semakin tidak menentu, manakala ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI) pula dijangka melonjakkan permintaan elektrik ke tahap luar biasa dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan Grid Kuasa ASEAN kini menjadi satu keperluan strategik bagi memastikan bekalan tenaga di rantau ini kekal terjamin, mampu milik dan mampan dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

Menurut beliau, ketegangan yang berlaku di Selat Hormuz telah membuktikan bagaimana gangguan terhadap laluan tenaga antarabangsa mampu memberi kesan besar kepada negara-negara di seluruh dunia, termasuk di rantau ASEAN, apabila rantaian bekalan terganggu dan mencetuskan kecemasan tenaga di beberapa negara.

Katanya, situasi tersebut menunjukkan bahawa setiap negara kini berdepan kerentanan yang sama dalam landskap geopolitik global yang semakin tidak menentu.

“Realitinya, bahan api fosil yang selama ini menjadi pemacu utama pembangunan dunia bukan sahaja semakin terhad, malah mungkin tidak lagi menawarkan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan seperti yang pernah diandaikan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Peralihan Tenaga anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Anwar berkata, cabaran tenaga dijangka menjadi lebih mendesak apabila permintaan tenaga di ASEAN diunjurkan meningkat lebih 60 peratus menjelang tahun 2040, didorong oleh pertumbuhan bandar, perkembangan industri dan transformasi ekonomi digital.

Beliau menjelaskan bahawa perkembangan pesat AI turut mempercepatkan lonjakan penggunaan tenaga apabila pusat data, pengkomputeran awan dan infrastruktur digital moden memerlukan bekalan elektrik yang jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Ketika negara-negara berlumba membangunkan ekonomi digital berasaskan AI, cabaran sebenar bukan sekadar menjana lebih banyak tenaga, tetapi memastikan tenaga yang dibekalkan kekal selamat, berdaya saing dari segi kos dan mampan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh pembangunan Grid Kuasa ASEAN yang disifatkan sebagai mekanisme penting bagi memenuhi keperluan tenaga serantau secara lebih cekap dan bersepadu.

Menurut beliau, komitmen terhadap pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dipertingkatkan bagi Grid Kuasa ASEAN turut menjadi antara pencapaian utama yang dipersetujui pada Sidang Kemuncak ASEAN di Cebu di bawah kepengerusian Filipina tahun ini.

Anwar turut mengimbas kejayaan projek perdagangan elektrik rentas sempadan pelbagai hala pertama Asia Tenggara yang dilaksanakan sejak 2022, melibatkan penghantaran tenaga hidro boleh baharu dari Laos melalui Thailand dan Malaysia sebelum disalurkan ke Singapura.

Katanya, kejayaan itu membuktikan integrasi tenaga serantau bukan sahaja boleh dilaksanakan dari sudut teknikal, malah menunjukkan kemampuan negara-negara ASEAN merealisasikan kerjasama strategik yang memberi manfaat bersama.

Mengulas tema persidangan tahun ini, “Tenaga dan AI – Sinergi untuk Peralihan Tenaga”, beliau berkata gabungan kedua-dua sektor itu bakal memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan sistem tenaga dunia.

Walaupun AI meningkatkan penggunaan tenaga melalui pengembangan infrastruktur digital, teknologi tersebut juga mampu membantu mempercepatkan agenda peralihan tenaga menerusi pengurusan grid yang lebih cekap, ramalan penjanaan tenaga boleh baharu yang lebih tepat serta pengoptimuman penggunaan tenaga dalam sektor industri.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pertumbuhan pesat AI perlu diseimbangkan dengan matlamat kelestarian agar pembangunan teknologi tidak menjejaskan agenda tenaga hijau yang sedang diperjuangkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata Malaysia kini semakin menyerlah sebagai hab utama pembangunan infrastruktur digital global hasil kedudukan strategik negara serta daya tarikan pelaburannya yang kompetitif.

Beliau berkata, kemasukan pelaburan besar dalam sektor pusat data khususnya di Johor dan Lembah Klang turut membawa tanggungjawab lebih besar untuk memastikan pertumbuhan ekonomi digital disokong oleh sistem bekalan tenaga yang mampan dan berdaya tahan.

Pada masa sama, beliau menyatakan keyakinan terhadap kemampuan TNB menerajui agenda peralihan tenaga negara dan memanfaatkan potensi AI bagi menjamin bekalan tenaga yang lebih cekap demi kesejahteraan rakyat.

“Kita akan memastikan peralihan tenaga dilaksanakan secara adil, bekalan elektrik negara kekal terjamin dan teknologi AI dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan negara serta rakyat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TNB atas penganjuran berterusan Persidangan Peralihan Tenaga yang disifatkan sebagai platform penting bagi memperkukuh dialog dan kerjasama dalam menjayakan agenda transformasi tenaga negara.

BBerkaitan

Latest articles