Bekas Speaker Dewan Negara Serah Memorandum Kepada PM Berhubung Ketua Menteri Melaka

PUTRAJAYA: Mantan Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad hari ini menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri bagi memohon campur tangan kerajaan supaya siasatan terhadap dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, disegerakan.

Dalam sidang media di hadapan Pintu 1 Pejabat Perdana Menteri, beliau mendakwa menjadi mangsa “pakatan jahat” yang menyebabkan beliau ditahan reman sebelum ini.

Mohamad Ali berkata, beliau telah menyerahkan pelbagai bukti kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk rakaman audio, laporan forensik, laporan polis serta dokumen lain yang didakwanya berkaitan dengan kes berkenaan.

Menurutnya, siasatan oleh Bukit Aman telah berjalan hampir dua tahun, namun beliau melahirkan rasa kecewa kerana masih belum ada tindakan lanjut.

“Saya merayu kepada Perdana Menteri supaya keadilan dapat ditegakkan kerana undang-undang perlu dilaksanakan secara sama rata tanpa mengira kedudukan mana-mana individu,” katanya.

Beliau berkata, memorandum yang diserahkan turut mengandungi laporan forensik yang didakwanya mengesahkan identiti suara dalam rakaman perbualan yang dikemukakan sebagai bukti.

Mohamad Ali turut memaklumkan bahawa berdasarkan maklumat yang diterimanya daripada pihak polis, kertas siasatan kini berada di peringkat akhir sebelum dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kehadirannya ke Pejabat Perdana Menteri bertujuan memohon agar proses berkenaan dapat disegerakan memandangkan semua bukti yang dimilikinya telah diberikan kepada pihak berkuasa dan beliau mendakwa telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan.

Ditanya mengengai laporan kepada SPRM, Mohamad Ali berkata pihaknya masih belum membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata, laporan kepada SPRM dijangka dibuat selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka katanya

BBerkaitan

Latest articles