KUALA LUMPUR: Bekas pembantu khas kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan membabitkan penipuan dan penerimaan suapan bernilai RM500,000 berkaitan pembekalan papan pintar interaktif kepada sekolah, dua tahun lalu.
Tertuduh, Edmund Teoh Kheng Yaik, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Suzana Hussin selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama, Edmund didakwa memperdayakan Teresa dengan memberi gambaran hanya dua sekolah di kawasan Parlimen Seputeh memohon sumbangan Interactive Smart Board, sedangkan sebenarnya terdapat 16 sekolah lain turut mengemukakan permohonan sama.
Tindakan itu didakwa mendorong ahli Parlimen berkenaan meluluskan permohonan melalui sistem My-Khas di bawah Projek Mesra Rakyat Parlimen Seputeh, yang mana persetujuan tersebut dipercayai tidak akan diberikan sekiranya fakta sebenar diketahui.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh di Off Jalan Kuchai Lama pada Jun 2024.
Bagi pertuduhan tersebut, Edmund didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Edmund yang ketika itu bertugas sebagai Pembantu Pejabat Ahli Parlimen Seputeh didakwa menerima wang tunai RM500,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun sebagai suapan.
Suapan berkenaan didakwa sebagai balasan membantu mendapatkan sumbangan pembekalan papan pintar interaktif serta peralatan berkaitan kepada 16 sekolah di Parlimen Seputeh melalui syarikat TMT IT Solutions milik isteri lelaki terbabit.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak Shell di Jalan Kuchai Lama pada 12 Ogos 2024.
Pendakwaan bagi kes rasuah itu dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.










