Asyraf Persoal Masa Pendedahan RCI Tabung Haji, Dakwa Dijadikan Modal PRN Negeri Sembilan

SEREMBAN: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan tindakan kerajaan yang hanya kini bercadang mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sedang berlangsung.

Menurut beliau, laporan berkenaan telah lama disiapkan dan tiada sebab untuk kerajaan terus menangguhkan pendedahannya sehingga musim pilihan raya.

“Kalau benar mahu dedahkan, dedahkan sekarang. Kenapa perlu tunggu ketika kempen pilihan raya baru isu ini mahu diketengahkan?” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti Peringkat Parlimen Rasah, hari ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan beliau yakin Jemaah Menteri akan mempertimbangkan cadangan untuk mendedahkan laporan RCI Tabung Haji kepada umum.

Anwar dilaporkan berkata beliau tidak mempunyai halangan terhadap cadangan itu, namun keputusan mengenainya perlu diputuskan secara rasmi oleh Kabinet dalam mesyuarat yang dijadualkan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata UMNO merupakan antara pihak terawal yang mendesak penubuhan RCI bagi menyiasat pelbagai dakwaan terhadap Tabung Haji secara telus dan menyeluruh.

Beliau berkata, ketika menerajui Pergerakan Pemuda UMNO, beliau sendiri pernah menggesa kerajaan ketika itu menubuhkan RCI bagi memastikan segala dakwaan penyelewengan disiasat tanpa sebarang campur tangan.

“Jika benar wujud salah laku atau penyelewengan, ambillah tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat. Tetapi jangan jadikan Tabung Haji sebagai modal politik murahan ketika kempen pilihan raya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles