BEIJING: Barisan Nasional (BN) tidak akan berkompromi dalam mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021, meskipun gabungan itu terbuka untuk berunding mengenai pembahagian kerusi lain menjelang pilihan raya bulan depan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan kerusi yang dimenangi gabungan itu sebelum ini tidak akan dikongsi dengan mana-mana parti, manakala rundingan hanya boleh dipertimbangkan bagi tujuh kerusi yang bukan milik BN.
“Prinsip kita, 21 kerusi yang kita menang itu adalah kerusi yang kita tidak berhasrat untuk kongsikan. Jika mahu mengadakan perundingan pun, kita akan berunding atas tujuh lagi kerusi yang bukan dipunyai oleh BN,” katanya pada sidang media, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO itu berkata, keputusan muktamad berhubung bentuk kerjasama politik di Melaka diserahkan kepada Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang juga Ketua Menteri Melaka.
Menurutnya, Ab Rauf diberi mandat untuk menentukan hala tuju kerjasama berkenaan selepas proses penamaan calon.
Pada PRN Melaka 2021, BN menguasai 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai tarikh penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 10 November dan hari mengundi pada 14 November.
DUN Melaka dibubarkan pada 23 September lalu bagi membuka laluan kepada PRN berkenaan.










