KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bagi membincangkan pelbagai agenda penting melibatkan kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri Johor.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan hari ini, Anwar berkata sesi menghadap tersebut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan secara mendalam mengenai isu semasa, selain menilai pelbagai usaha yang sedang dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
Menurut beliau, antara perkara utama yang disentuh adalah perkembangan terkini negeri Johor serta perancangan berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan dan mempercepat agenda pembangunan negeri berkenaan.
“Pertemuan ini memberi kesempatan yang baik untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, khususnya di Johor.
“Kami turut meneliti perkembangan semasa serta perancangan berterusan Kerajaan MADANI dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri,” katanya.
Anwar turut memaklumkan bahawa beliau dan Tunku Mahkota Ismail sepakat untuk terus mengekalkan hubungan erat yang telah terjalin, selain memperkukuh kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor.










