MELAKA,– Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sistem kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam terus memberi ruang kepada pegawai yang menunjukkan prestasi cemerlang tanpa terlalu terikat kepada faktor senioriti semata-mata.
Beliau berkata penjawat awam yang berkhidmat dengan baik dan menunjukkan kecemerlangan wajar diberikan peluang untuk berkembang dalam kerjaya bagi meningkatkan prestasi keseluruhan perkhidmatan awam.
Menurutnya, budaya kecemerlangan atau “itqan fil amal” serta semangat untuk mencapai prestasi terbaik perlu terus diperkukuhkan dalam sektor awam.
“Pegawai yang berkhidmat dengan baik dan cemerlang, walaupun belum begitu senior, harus diberikan ruang yang sewajarnya. Kita tidak boleh terlalu terikat dengan kategori yang terlalu dogmatik dan perlu ada sedikit penyesuaian,” katanya ketika berucap pada sesi santai mesra bersama warga Perkhidmatan Awam Zon selatan di sini, hari ini
Bagaimanapun, beliau berkata perkara berkaitan kenaikan pangkat dan pengurusan sumber manusia perlu terus ditentukan menerusi mekanisme profesional di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Anwar berkata sejak mengambil alih pentadbiran negara kira-kira tiga setengah tahun lalu, beliau berpegang kepada prinsip menghormati profesionalisme perkhidmatan awam dan mengelakkan campur tangan politik dalam urusan pentadbiran.
“Saya hormati proses yang lebih telus dan menghindari campur tangan politik yang keterlaluan kerana perkara itu boleh menimbulkan masalah kepada sistem,” katanya.
Beliau berkata prinsip tersebut akan terus dipertahankan bagi memastikan perkhidmatan awam kekal profesional, berintegriti dan berupaya melaksanakan dasar kerajaan secara berkesan.
Menurutnya, Malaysia mewarisi sistem perkhidmatan awam yang tersusun dan jelas yang menjadi antara faktor penting kepada kestabilan pentadbiran negara.
Anwar berkata pengasingan kuasa antara kepimpinan politik dan perkhidmatan awam perlu terus dipelihara selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
Beliau berkata negara dibina berasaskan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang serta penghormatan terhadap institusi yang menjadi teras sistem pentadbiran negara.
Dalam pada itu, beliau berkata kestabilan politik dan kecekapan perkhidmatan awam merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam penarafan daya saing antarabangsa.
Menurutnya, pengiktirafan yang diterima Malaysia di peringkat global bukan disebabkan oleh kepimpinan individu semata-mata, sebaliknya hasil usaha bersama seluruh jentera kerajaan dan penjawat awam.
“Prestasi kita dalam tempoh tiga setengah tahun ini dan pengiktirafan dunia bukan sebab Anwar menjadi Perdana Menteri semata-mata, tetapi kerana sistem yang baik dan pasukan perkhidmatan awam yang berkesan,” katanya.
Beliau berkata perkara itu turut diakui oleh Presiden Turkmenistan ketika lawatan rasminya ke negara berkenaan baru-baru ini.
Menurut Anwar, Presiden Turkmenistan memuji pencapaian Malaysia dalam indeks daya saing global serta menyatakan hasrat untuk menghantar pasukan perkhidmatan awam negara itu ke Malaysia bagi mempelajari amalan pentadbiran yang dilaksanakan.
Beliau berkata keyakinan terhadap Malaysia turut membantu mengukuhkan hubungan ekonomi dan tenaga antara kedua-dua negara.
Anwar berkata Petroliam Nasional Bhd (Petronas), yang telah beroperasi di Turkmenistan selama lebih 30 tahun, berjaya mengekalkan kedudukan kukuh dalam persaingan mendapatkan akses kepada blok-blok gas strategik.
Menurutnya, Petronas terpaksa bersaing dengan syarikat minyak dan gas antarabangsa utama seperti TotalEnergies, Shell, Esso dan Mobil.
Beliau berkata Presiden Turkmenistan turut menyatakan kesediaan untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga bersama Malaysia berikutan prestasi cemerlang Petronas dan hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara.
“Beliau menyatakan Malaysia adalah sahabat dan mereka sedang mempertimbangkan secara serius untuk memperkukuh lagi hubungan dalam sektor tenaga bersama Petronas,” katanya.










