AYER KEROH: Kerajaan Perpaduan tidak menolak tuntutan supaya reformasi dipercepatkan, namun pelaksanaannya perlu dilakukan secara berperingkat dan mengambil kira realiti politik serta pentadbiran semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan itu penting bagi memastikan setiap perubahan yang dilaksanakan benar-benar kukuh, berkesan dan mampu bertahan dalam jangka panjang.
Beliau pada masa sama mengingatkan supaya desakan terhadap reformasi tidak sampai menafikan pelbagai perubahan yang sudah dilaksanakan sepanjang hampir tiga tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Saya harap rakan-rakan yang menuntut perubahan, silakan. Tetapi terima kenyataan bahawa perubahan sudah dilakukan. Kita boleh senaraikan berapa banyak.
“Jadi kalau pun kita menegur, menggesa, mendesak, jangan memadamkan kenyataan yang sudah dilakukan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Anwar berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) turut menuntut pendekatan lebih berhati-hati, khususnya dalam mendapatkan persetujuan antara Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti gabungan lain.
Menurut beliau, rundingan serta toleransi politik menjadi antara asas penting bagi memastikan perubahan yang mahu dibawa kerajaan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kestabilan pentadbiran.
Dalam ucapannya, Anwar turut mempertahankan rekod reformasi kerajaan dengan menyenaraikan beberapa perubahan perundangan dan inisiatif yang telah diluluskan sepanjang tempoh pentadbirannya.
Antara yang diketengahkan ialah pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62), Akta Perkhidmatan Parlimen, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA), penubuhan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR), Akta Kredit Pengguna serta langkah memperkukuh perlindungan kebajikan pekerja gig.
Perdana Menteri turut mengakui terdapat tekanan supaya lebih banyak perubahan struktur dilaksanakan dalam tempoh singkat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan reformasi tidak boleh digerakkan secara terburu-buru kerana perubahan besar memerlukan asas yang kukuh sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Dalam tiga tahun, ada yang mengandaikan semuanya harus diadakan sekarang. Saya ingin ingatkan, kita tahu perubahan itu harus bertapak, berperingkat.
“Ini bukan sebagai dalih untuk mengelak. Kita juga belajar dan sentiasa saya ingatkan, jangan gopoh,” katanya.
Anwar berkata, matlamat reformasi bukan sekadar menghasilkan perubahan di atas kertas, sebaliknya memastikan pembaharuan yang diperkenalkan dapat berfungsi dengan baik serta memberi kesan berpanjangan kepada pentadbiran dan rakyat.










