Anwar: Proses Kenaikan Pangkat ATM, PDRM Akan Dipermudah, Pengumuman 30 Ogos

ALOR GAJAH: Kerajaan bersetuju secara dasar untuk mempermudah dan mempercepatkan proses kenaikan pangkat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), selaras dengan pelaksanaan skim perkhidmatan awam yang lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mekanisme baharu berhubung perkara itu sedang diperhalusi oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Menurut beliau, pengumuman mengenai kaedah pelaksanaannya dijangka dibuat sempena sambutan Ambang Merdeka di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Ogos ini.

“Kita berikan sedikit ruang kepada mereka (untuk memperincikan mekanisme pelaksanaan),” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan bersama ATM di Kem Terendak, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Shamsul Azri serta Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.

Anwar berkata, cadangan mempercepatkan proses kenaikan pangkat itu susulan isu berkenaan yang dibangkitkan sendiri oleh pegawai ATM ketika beliau mengadakan lawatan ke Kem Syed Sirajuddin di Gemas, Negeri Sembilan, bulan lalu.

Beliau menegaskan kerajaan komited memastikan kebajikan anggota pasukan keselamatan terus diberi perhatian, termasuk menambah baik aspek pengurusan kerjaya mereka.

BBerkaitan

Latest articles