BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf sekiranya pendekatan dan nada tegas yang sering digunakan ketika berucap dianggap keterlaluan atau disalah tafsir sebagai memarahi penjawat awam.
Beliau berkata, ketegasan yang ditampilkan bukan bertujuan mengaib atau menekan mana-mana pihak, sebaliknya lahir daripada rasa tanggungjawab serta keprihatinan terhadap amanah besar yang dipikul oleh jentera perkhidmatan awam dalam menjayakan agenda pembangunan negara.
Menurut Anwar, beliau sering menerima teguran dan nasihat supaya lebih mengawal nada percakapan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kerana kedudukannya kini menuntut pendekatan yang lebih tenang.
“Ramai yang beritahu saya, jangan bercakap dengan suara yang tinggi kerana sekarang saya sudah menjadi Perdana Menteri. Saya cuba untuk mengurangkan nada itu, tetapi apabila menyentuh perkara yang dekat dengan hati nurani dan perasaan, saya tidak dapat mengelak daripada bersuara dengan tegas.
“Kalau cara itu dirasakan tidak sesuai bagi seorang Perdana Menteri, saya mohon maaf. Mungkin ada yang beranggapan seorang Perdana Menteri perlu sentiasa tenang, tetapi saya tidak mampu berbuat demikian dalam perkara yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Tengah di Dewan Sultan Idris Shah (DSIS), Universiti Islam Selangor (UIS), di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Naib Canselor UIS, Datuk Prof. Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan ketegasannya bukan kerana ingin memarahi penjawat awam, sebaliknya beliau melihat golongan itu sebagai pasukan utama yang bertanggungjawab memastikan setiap dasar dan inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Katanya, sebagai ketua kerajaan, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk berkongsi kebimbangan dan harapan dengan jentera yang bersama-sama menggerakkan pentadbiran negara.
“Jika itu dianggap satu kesilapan, sekali lagi saya mohon maaf. Namun percayalah, apa yang saya luahkan adalah apa yang benar-benar saya rasakan.
“Dengan siapa lagi saya hendak berkongsi kebimbangan ini kalau bukan dengan pasukan saya sendiri, iaitu penjawat awam yang melaksanakan segala program dan dasar kerajaan,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada seluruh warga perkhidmatan awam atas dedikasi dan komitmen mereka yang menjadi antara faktor utama kejayaan pelbagai inisiatif Kerajaan MADANI.
Beliau berkata, walaupun Perdana Menteri sering menerima pengiktirafan apabila negara mencapai sesuatu kejayaan, hakikatnya pencapaian itu tidak mungkin direalisasikan tanpa usaha gigih dan profesionalisme penjawat awam.
“Apabila negara mencapai kejayaan, orang pertama yang biasanya ditanya ialah Perdana Menteri. Namun dengan penuh tawaduk saya ingin menegaskan bahawa semua kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa komitmen, kesungguhan, kecerdasan dan dedikasi rakan-rakan penjawat awam,” katanya.










