Anwar: Kerajaan Fokus Tadbir Negara, PRU16 Bukan Keutamaan Ketika Ini

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam masa terdekat, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha mentadbir negara dan memenuhi agenda pembangunan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan pembubaran Parlimen susulan tindakan Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Menurut Anwar, keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri berhubung pembubaran DUN merupakan hak dan pertimbangan pihak terbabit, manakala Kerajaan Persekutuan mempunyai keutamaan tersendiri yang perlu diberi perhatian pada masa ini.

“Ia adalah keputusan mereka (Barisan Nasional Johor). Kami mempunyai keutamaan kami.

“Kami fokus pada kerja kami,” katanya ringkas selepas menghadiri Majlis Peluncuran Persidangan Peralihan Tenaga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.

Pada Isnin lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Menurut beliau, langkah tersebut diambil bagi memberi laluan kepada proses demokrasi menerusi PRN Johor ke-16, dengan tarikh penamaan calon dan hari pengundian akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

BBerkaitan

Latest articles