KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka dibenarkan keluar hospital hari ini selepas menjalani rawatan bagi masalah hernia perut.
Perkara itu dimaklumkan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang berkata keadaan perdana menteri kini berada dalam pemantauan pasukan pakar perubatan.
Menurut Wan Azizah, Anwar turut menitipkan salam serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan dan kesejahteraannya.
“PMX menitipkan salam dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan agar beliau diberikan kesihatan dan kembali sihat,” katanya kepada pemberita.
Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Semarak Merdeka Parlimen Bandar Tun Razak, bersempena sambutan Bulan Kebangsaan 2026, di Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Bandar Tun Razak, hari ini.
Pada Isnin, Anwar dilaporkan selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat para-umbilical hernia, iaitu hernia yang berlaku di sekitar bahagian pusat.
Selepas prosedur berkenaan, perdana menteri dilaporkan berada di bawah pemantauan rapi pasukan pakar perubatan bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.










