Anwar Diberi Penghormatan Baca Khutbah Jumaat Di Masjid New York

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan khutbah solat Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), di sini, pada Jumaat ini.

Anwar menjadi pemimpin asing pertama diberi penghormatan sedemikian oleh masjid pertama di bandar itu yang dibuka pada 25 September 1995 yang turut menempatkan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Anwar dijangka tiba di New York hari ini, dan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-78 yang bermula hari ini hingga 26 September depan.

Pada penampilan pertama beliau di perhimpunan tahunan pemimpin dunia itu, Anwar akan berkongsikan usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim dan tindakan yang diambil bagi mencapai Agenda 2030.

“Perdana Menteri juga akan berkongsikan mengenai kerangka Malaysia Madani… amat penting untuk kita memberitahu kepada dunia mengenainya,” kata Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir kepada wartawan Malaysia di Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Nazri Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Ahmad Faisal Muhamad.

Menurut Zambry, Perdana Menteri yang dijadual tiba di sini pada Rabu akan menyampaikan Kenyataan Negara pada Perbahasan Umum pada Jumaat.

Anwar akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, beberapa Ahli Parlimen serta pegawai kanan kerajaan.

BBerkaitan

Latest articles