Anwar Dedahkan Pelaburan KWAP Dalam e-Fishery Diluluskan Firma Audit Gergasi Sebelum Penipuan Terbongkar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa pelaburan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dalam syarikat e-fishery di Indonesia sebelum ini telah mendapat kelulusan dan pengesahan daripada tiga syarikat audit terbesar dunia.

​Mengulas perkara itu, beliau menyamakan komplikasi yang berlaku dalam kes penipuan e-Fishery ini dengan skandal kewangan mega yang pernah melanda negara, iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

​​Menurut Perdana Menteri, biarpun proses kelulusan di Indonesia itu pada awalnya dilihat amat meyakinkan dengan penglibatan firma audit terkemuka, penipuan terancang masih boleh berlaku, menyamai taktik yang digunakan dalam skandal 1MDB yang turut melibatkan entiti kewangan global.

​”Dua certified audit meluluskan, yang ketiga meluluskan, tak sempat disahkan. Ini tiga syarikat audit terbesar dunia meluluskan. Jadi, saya ada kaji ini, ini memang kepakaran luar biasa dari Jakarta ini tetapi dalam bentuk penipuan.

​”Ini pertimbangan yang besar… Kalau kita ambil pengalaman 1MDB umpamanya, itu ada penglibatan Goldman Sachs, syarikat kewangan dan audit terkenal dunia, tapi terlibat complicit dalam usaha penipuan ini. Ini pengajaran-pengajaran kepada kita,” tegas Anwar.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Abdul Halim Suleiman pada sesi Dewan Negara di sini hari ini.

​Beliau menambah, pengajaran daripada kes ini membuktikan bahawa bergantung sepenuhnya kepada reputasi syarikat audit terkemuka dunia sahaja tidak lagi menjamin keselamatan sesuatu pelaburan.

​Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan, menegaskan panel pelaburan KWAP kini berhadapan cabaran untuk tidak bersandar bulat-bulat kepada pakar audit dunia, sebaliknya perlu mengimbangi keputusan dengan melihat aspek nilai, peraturan, dan ketelitian domestik.

​”Tak bergantung pada syarikat audit, sukar untuk dapat kelulusan. Bergantung sepenuhnya, kita lihat ada juga risiko. Sebab itu dalam kerangka Malaysia Madani, kita sebut kepintaran, kepakaran, teknologi baharu menggapai di langit itu perlu, tetapi mesti berakar ke bumi dengan nilai dan akhlak,” katanya.

​Anwar juga menjelaskan bahawa panel jawatankuasa pelaburan tersebut dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional.

​Jelas beliau, perbezaan latar belakang hanya wujud di peringkat Lembaga Pengarah KWAP yang turut melibatkan wakil daripada kementerian serta wakil pekerja bagi memastikan kepentingan awam terpelihara, manakala panel pelaburan kekal bebas daripada campur tangan politik atau kerajaan dalam urusan strategik kewangan.

BBerkaitan

Latest articles