Anthony Selar Pengurusan MYAirline, Penghentian Mengejut Tidak Bertanggungjawab

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mempersoal mengapa pengurusan syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) tidak memaklumkan langkah penghentian operasi kepada pihaknya dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Beliau kemudiannya menyelar tindakan berkenaan dengan menyifatkan ia sebagai tidak bertanggungjawab.

“Apa yang berlaku pagi tadi adalah mereka hentikan operasi pada jam 6 pagi, bukan sahaja kapal tidak terbang malah pekerja mereka juga tidak berada di lapangan.

“Mereka (pengurusan MyAirline) kena jumpa kita (MOT) dan bukannya ambil langkah seperti ini.

“Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan ia menjejaskan imej negara sebagai sebuah destinasi,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

MyAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa awal hari ini sehingga diberitahu kelak.

Dalam satu kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu memaklumkan keputusan penggantungan tersebut dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

Dalam pada itu Anthony berkata, sejumlah 125,000 penumpang yang telah membeli tiket terkesan dengan langkan mengejut syarikat itu buat masa ini dengan jumlah RM20 juta.

Malah beliau mengarahkan syarikat penerbangan itu memulangkan semula wang berkenaan kepada semua penumpang.

“Kita akan teruskan perkara ini dan MAVCOM akan dipertanggungjawabkan untuk memastikan mereka perlu ada mekanisme jelas untuk proses pemulangan bayaran kepada semua penumpang yang terjejas.

“Ini amat dikesali dan bagi saya satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, dan mereka kena mohon maaf kepada semua penumpang,” katanya.

Anthony juga menggesa pengurusan MYAirline berhubung dengan MAVCOM tentang masalah yang dihadapi mereka.

“Mereka sepatutnya maklumkan kepada MAVCOM dan bukannya menghentikan operasi seperti ini.

“Jika ada masalah datang dan kita bincang dan lihat apa langkah mitigasi. Jika nak hentikan operasi mesti ada tempoh masa,” katanya.

MYAirline mengendalikan 8 pesawat dan mempunyai rancangan untuk memperluaskan operasinya kepada 12 pesawat menjelang akhir tahun ini.

Pada masa ini, MYAirline mempunyai kira-kira 900 orang kakitangan dan menyediakan perkhidmatan penerbangan daripada KLIA Terminal 2 ke 8 destinasi domestik (Pulau Pinang, Kota Bharu, Langkawi, Kota Kinabalu, Sibu, Tawau, Kuching dan Miri) dan satu destinasi antarabangsa (Bangkok, Thailand).

MAVCOM telah meluluskan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) kepada MYAirline untuk tempoh 12 bulan mulai 15 November 2022 hingga 14 November 2023.

BBerkaitan

Latest articles