PORT DICKSON –Pemangku Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengingatkan mana-mana pemegang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan supaya melepaskan jawatan sekiranya memilih untuk menyerang rakan kerajaan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan itu, prinsip tersebut jelas dan perlu dipatuhi tanpa kompromi.
“Itu kena fahamlah tu, kena letaklah jawatan. Kan kita bertanding ni nak dapatkan jawatan, tapi jawatan ada tak nak lepas, macam mana tu? Saya harap kena ikutlah peraturan. Kita nak bertanding tak bolehlah kita gunakan apa yang kita ada. Saya pun jalan seorang-seorang saja,” katanya kepada pemberita di Port Dickson, hari ini.
Beliau mengulas amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa mana-mana menteri, timbalan menteri atau pemegang jawatan dalam agensi kerajaan yang menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan sepanjang kempen PRN boleh diminta melepaskan jawatan.
Kenyataan Aminuddin itu menambah tekanan terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN), susulan kerjasama parti itu dengan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan yang dilihat bercanggah dengan semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Sebelum ini, Angkatan Muda Harapan (AMH) turut menggesa semua menteri dan timbalan menteri daripada BN meletakkan jawatan Kabinet jika parti itu terus mengambil pendirian politik yang bertentangan dengan rakan dalam kerajaan.
AMH berpendapat tindakan BN bekerjasama secara terbuka dengan PN menunjukkan parti itu tidak lagi menghargai mandat dan kepercayaan yang diberikan dalam Kerajaan Perpaduan.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Pengerusi BN yang juga Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, sekali lagi mempertahankan kerusi DUN Rantau pada PRN Negeri Sembilan.
Semalam, ketika diminta mengulas amaran Perdana Menteri, Mohamad dilaporkan menyatakan beliau bersedia melepaskan jawatan sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh Anwar.
Isu itu dijangka terus menjadi antara tumpuan utama kempen PRN apabila persoalan mengenai kesetiaan kepada Kerajaan Perpaduan dan pendirian politik BN terus diperdebatkan.










