Akmal Jawab Teresa Kok, ” Bring It on, I am Not Afraid…”

Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, beliau tidak gentar berdepan tindakan mahkamah yang mungkin akan difailkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, terhadapnya susulan kenyataan berkait isu pensijilan halal.

Ketua Pemuda UMNO itu berkata, beliau tidak bimbang untuk berdepan tindakan undang-undang terbabit, malah bersedia ‘berjumpa’ Naib Pengerusi DAP berkenaan di mahkamah.

“Hari ini, apabila Teresa Kok dipanggil ke ibu pejabat polis tadi, beliau mengeluarkan kenyataan akan mempertimbangkan untuk saman saya di mahkamah.

“Saya nak beritahu kepada Teresa Kok… bring in on, I am not afraid… no fear, no surrender (teruskan, saya tidak takut… tiada gentar, tidak menyerah kalah). Kita jumpa di mahkamah,” katanya dalam rakaman video pendek yang dikongsikan melalui Facebook beliau, malam ini.

Sebelum itu , media melaporkan Teresa sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Dr Muhamad Akmal Saleh susulan kenyataan balas Ketua Pemuda UMNO itu berkait isu pensijilan halal, termasuk mahu ‘logo tidak halal’ ditampal pada dahi Setiausaha Publisiti DAP berkenaan.

Teresa dipetik memaklumkan kepada pemberita setelah memberi keterangan di Bukit Aman, hari ini, bahawa beliau sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada barisan peguamnya berhubung perkara terbabit.

Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal dipetik menempelak tindakan Teresa yang dilaporkan mendakwa bahawa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan, hanya menambah beban terhadap peniaga.

Dr Muhamad Akmal dilapor menegaskan perolehan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukan saja membabitkan larangan kandungan arak serta babi tetapi turut merangkumi bagaimana sesuatu makanan itu disediakan dan sumber penyediaannya.

BBerkaitan

Latest articles